Monday, 21 August 2017

*Persembahan Ucapan Tahniah Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah*

*Persembahan Ucapan Tahniah Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah*

Patik mewakili rakyat Kebawah Duli Tuanku di dalam Parlimen Kuala Nerus merafak sembah, pohon ampuni perkenan untuk menyembahkan ucapan tahniah atas kemenangan Kebawah Duli Tuanku al-Sultan merangkul kejuaraan dua pingat emas pada temasya sukan SEA yang sedang berlangsung sekarang. Kejuaraan Kebawah Duli Tuanku itu mampu menyuntik semangat juang kepada hamba rakyat untuk mengejar kejayaan dalam semua lapangan kehidupan dan kerjaya.
Syabas dan tahniah Tuanku, daripada patik dan rakyat Parlimen Kuala Nerus, Terengganu Darul Iman.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin 21hb Ogos 2017

PAS: Walau terlewat 32 tahun, RCI Memali dinantikan waris mangsa

PAS: Walau terlewat 32 tahun, RCI Memali dinantikan waris mangsa

Khairil Ashraf

ShareTweetPinMail

PETALING JAYA: Walaupun terlewat 32 tahun, kesediaan kerajaan pertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji peristiwa Memali 1985 dinanti-nantikan waris mangsa dan PAS, kata Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ketua Penerangan Dewan Ulama berkata kerajaan bertanggungjawab menjalankan siasatan bebas yang boleh membongkar “misteri” di sebalik arahan kepada pasukan polis sehingga berlakunya tragedi berdarah.

“Mereka yang terlibat perlu diambil tindakan sekiranya terbukti bersalah. Dalam masa yang sama ahli keluarga yang menanggung derita hasil tragedi itu, sama ada di pihak orang kampung atau di pihak polis, perlu segera diberikan pampasan sebagai tanda kerajaan sangat menyesali apa yang telah berlaku ketika itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Zahid yang menyatakan kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji peristiwa Memali 1985 jika ada permintaan dari individu, pertubuhan atau parti politik.

Sekiranya ditubuhkan, RCI itu merupakan suruhanjaya siasatan kedua yang ditubuhkan untuk menyiasat peristiwa yang berlaku di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

PAS pada 16 Ogos lalu menggesa kerajaan menubuhkan RCI dan menggesa kerajaan memohon maaf di atas konfrontasi antara pihak berkuasa dan pengikut penceramah agama Ibrahim Mahmud di Kampung Memali di Baling, Kedah, yang menyaksikan Ibrahim, 13 pengikutnya dan 4 anggota polis terbunuh.

Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 1986.

Namun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata saksi kejadian mendakwa Kertas Perintah 21 itu satu “pembohongan”.

Isu ini kembali hangat selepas kekecohan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” Ahad lepas, selepas objek dilontarkan ke pentas semasa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai peristiwa itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/20/pas-walau-terlewat-32-tahun-rci-memali-dinantikan-waris-mangsa/

Sunday, 20 August 2017

Dr Khairuddin; Kalau Azmin sertai Pas, barulah boleh runding' - Sinar Harian

Kalau Azmin sertai Pas, barulah boleh runding'

NINA FARZUIN MD SHAROM

20 OGOS 2017

Mohd Khairuddin

KUALA LUMPUR - Pas kekal dengan pendirian tidak akan mengadakan sebarang bekerjasama politik dengan PKR, khususnya dalam menghadapi PRU14.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan dan strategi parti itu yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulamak pada Mei lalu.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa parti itu bersedia membuka pintu untuk berunding bersama Pas dianggap sebagai satu usahanya sahaja.

"Kita masih tetap dengan strategi kita. Kecuali apabila beliau (Mohamed Azmin) keluar PKR dan sertai Pas, barulah kita boleh bincang dan bekerjasama," katanya pada sidang media selepas program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, masih belum terlambat untuk Pas dan PKR berunding demi masa depan bersama.

Sementara itu, mengulas berhubung Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164], beliau berkata Pas konsisten menentangnya.

"Tindakan kita yang seterusnya adalah mengemukakan resolusi dan cadangan kita kepada menteri berkaitan iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Kita juga akan bertemu secara rasmi mereka berdua pada Isnin nanti," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pas juga akan melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa isu itu lebih jauh kepada pihak berkepentingan seperti Majlis Raja-raja.

"Selain itu kita juga menggerakkan masyarakat untuk memahami isu ini supaya dapat bersama dengan kami.

"Perjuangan ini bukan hanya pandangan Pas, tapi juga NGO Islam bahawa pindaan Akta 164 adalah pindaan yang bercanggah dengan Perlembangaan dan peruntukan udang-undang sedia ada," katanya.

Beliau turut mencadangkan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk melihat kembali perkara ini daripada pelbagai sudut.

"Jawatankuasa ini perlu melibatkan semua pihak berkepentingan termasuklah orang Islam dan bukan Islam, kerajaan dan Majlis Raja-raja.

"Ini dapat memastikan supaya apa yang dirumuskan lebih harmoni dan tidak bercanggah dengan Perlembangaan dan menguntungkan semua pihak," katanya.

Wednesday, 16 August 2017

Selamatkan Negara Dengan Islam

*Selamatkan Negara Dengan Islam*

1. Negara perlu diselamatkan daripada pelbagai kerosakan ekonomi, politik dan sosial dengan Islam. Pakatan Harapan bukan wadah untuk menyelesaikan masalah negara dengan Islam.

2. Sebarang perbincangan kerjasama pilihanraya yang kononnya untuk menjatuhkan BN hakikatnya hanya untuk menyelamatkan kerusi parti tertentu dengan menjadikan jentera pilihanraya PAS sekali lagi kuda tunggangan sepertimana yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Apabila mereka berjaya memenangi kerusi sekali lagi agenda Islam akan ditendang dan diperangi. PAS akan diserang lagi dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan.

3. PAS terus komited mencanangkan kepada rakyat penyelesaian Islam menerusi Budaya Politik Matang Sejahtera dan dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera. Ucapan dasar Presiden PAS dalam muktamar lalu bertajuk Sejahtera Bersama Islam sedang dihayati oleh ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat bagi menghadapi PRU ke 14.

Sekian.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 15hb Ogos 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1681610651848958&id=569086473101387

https://m.malaysiakini.com/news/392030

Sinar Harian - PAS Tak Mahu Jadi Kuda Tunggangan

SHAH ALAM - Pas mendakwa sebarang perbincangan kerjasama pilihan raya yang kononnya untuk menjatuhkan BN sebenarnya bertujuan menyelamatkan kerusi parti tertentu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jentera pilihan raya Pas akan sekali lagi menjadi kuda tunggangan seperti yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/pru-pas-tak-mahu-jadi-kuda-tunggangan-1.719412

Sinar Harian - Selamatkan Negara Dengan Islam

SHAH ALAM - Pas mendakwa Pakatan Harapan bukan wadah untuk menyelesaikan masalah negara dengan Islam.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri mendakwa, Pakatan Harapan hanya berminat untuk menyelamatkan kedudukannya berbanding mahu menegakkan agenda Islam.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/pas-komited-selamatkan-negara-dengan-islam-1.719366

Sunday, 13 August 2017

*Ahli dan Pimpinan PAS Perlu Banyak Menerang Bukan Hanya Menyerang*

*Ahli dan Pimpinan PAS Perlu Banyak Menerang Bukan Hanya Menyerang*

oleh:
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

_Alhamdulillah. Solawat dan Salam ke atas Rasulillah, keluarga dan Sahabat baginda dan sesiapa yang mengikut dan membantu baginda sehingga ke Hari Pembalasan._

Allah berfirman:

*ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ*

"Hendaklah kamu berdakwah menyeru ke jalan Rabb kamu dengan Hikmah dan nasihat yang baik dan hendaklah kamu berbahas dengan mereka menggunakan perbahasan yang terbaik"
Surah al-Nahl ayat 125

1. *Dakwah lebih kepada penerangan, penjelasan dan ajakan. Mengajak dan menyuruh manusia melakukan yang makruf dan mencegah manusia melakukan kemungkaran.* Menjelaskan kekeliruan, merungkaikan kekusutan, meluruskan kefahaman dan membongkar kesesatan adalah sebahagian tugasan dakwah.

2. PAS sebagai Gerakan Politik, Dakwah dan Tarbiyah tidak hanya berpolitik untuk mendapatkan kuasa semata-mata tetapi berpolitik mengajak manusia menerima penyelesaian Islam dalam kehidupan dan mengajak manusia memberikan kuasa kepada Islam supaya keadilan untuk semua dapat ditegakkan.

3. Sangat menarik apabila Tuan Guru Presiden menegaskan dalam sesi taujihat sebelum mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tadi bahawa para Anbiya' membanyakkan penjelasan berbanding menyerang dan menjawab tuduhan. Justeru, beliau menasihatkan semua petugas parti untuk membanyakkan penjelasan bagi menarik masyarakat pelbagai peringkat bersama penyelesaian Islam. *Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang telah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan terkini PAS perlu dihayati dan diamalkan di semua peringkat dalam melaksanakan tugasan ini*.

4. Menurut Tuan Guru Presiden, apa yang utama perlu dijelaskan kepada masyarakat ialah asas Akidah, Syariat dan Akhlak Islam. *Topik-topik ini tidak digemari oleh orang ramai. Mereka lebih suka mendengar isu semasa sahaja. Namun itulah tugasan pendakwah yang tidak perlu berbicara menurut tajuk yang manusia suka sahaja.*

5. Isu-isu rakyat tidak hanya ditampilkan permasalahannya sahaja tanpa cadangan penyelesaian Islam. Dalam isu cukai GST sebagai sumber kewangan negara, PAS menampilkan alternatif penyelesaian Islam menerusi cukai simpanan korporat dan cukai keuntungan saham yang didokumentasikan dalam Dokumen Hijau.

6. Kenaikan kos hidup rakyat perlu ditangani dengan sistem ekonomi Islam yang adil menolak monopoli ekonomi, menolak Riba, menolak cukai yang dikenakan berasaskan perbelanjaan rakyat, menolak cukai yang menekan pendapatan rakyat dan cukai melampau yang dikenakan ke atas barangan keperluan rakyat.

7. Pengurusan ekonomi perlu dibina di atas asas dan kesedaran bahawa harta yang dimiliki oleh manusia adalah milik Allah yang diberi amanah untuk diguna dan diuruskan yang semuanya akan disoal di Akhirat.

8. Skandal kewangan 1MDB dan skandal-skandal kewangan seumpamanya sepanjang sejarah bernegara hanya akan dapat ditangani jika ia ditadbir oleh tangan yang amanah.

9. Memperjuangkan kedaulatan Islam dalam perlembagaan Malaysia, memperkasakan Mahkamah Syariah dan membuka ruang pelaksanaan Syariat menerusi RUU 355, menegaskan sikap terhadap pindaan Akta 164, memperingatkan umat terhadap ancaman Evangelis, ancaman pemikiran liberal yang ingin merungkai hukum hakam Islam dan pemikiran serta amalan songsang seperti LGBT, semuanya menjadi sebahagian agenda dakwah yang mesti sentiasa meniti dibibir ahli dan pimpinan PAS.

Sekian.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1679805518696138&id=569086473101387

Saturday, 12 August 2017

Liberalis Mempopularkan Pendapat Terpencil Ulamak

Terdapat kecenderongan oleh segelintir liberalis hari ini memasyhurkan satu pendapat terpencil oleh seorang dua tokoh ilmuwan Islam silam dalam sesuatu isu yang bercanggah dengan pegangan majoriti ratusan ribu tokoh ulamak sepanjang 1400 tahun. Mereka hiasi pendapat itu dengan label "progresif" dan "menepati maqasid syariah". Benarkah ia menepati Maqasid Syariah? Adakah Maqasid Syariah menjadi hujah membatalkan dalil-dalil syarak yang telah dikemukakan oleh majoriti ulamak ini. Adakah pegangan majoriti ratusan ribu ulamak itu tidak menepati Maqasid Syariah? Mereka sebenarnya jauh lebih memahami Maqasid berbanding akal liberalis ini. Hakikat yang sebenar ialah liberalis ini hanya berniat jahat merungkai pegangan umat Islam sepanjang zaman agar bertepatan dengan nafsu mereka lalu dicari alasan dan hujah yang bersifat agama lalu mereka jadikan pendapat terpencil seorang dua tokoh ini sebagai benteng dan topeng.

Dr Khairuddin at-Takiri

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1678593922150631&id=569086473101387

Wednesday, 2 August 2017

Petikan Perbahasan Isu Hakisan Pantai di Dewan Rakyat pada 16.7.2013

Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]: Terima kasih Tuan Yang diPertua. Isu hakisan pantai ini juga melibatkan di kawasan saya di Parlimen Kuala Nerus. Saya lihat ada dua cara penyelesaian dibuat oleh kerajaan. Satu menggunakan tambakan yang disebut oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tetapi satu lagi cara yang kurang kita ambil sedangkan diguna pakai oleh banyak negara luar yang hebat iaitu menggunakan pasir pantai sebagai tambakan.

Kalau kita gunakan tambakan batu, ia menyebabkan pantai yang cantik seperti tempat saya di Tok Jembal itu hilang keaslian pantainya kerana ia adalah aset pelancongan. Akan tetapi menggunakan pantai seperti yang berlaku kita lihat di Australia sebagai contoh, Miami Beach menggunakan pasir yang cantik daripada Brisbane dan juga satu lagi beach di Adelaide menggunakan tanah daripada gurun Australia hingga memberi ruang pekerjaan industri mengangkut pasir di Australia menjadi industri yang paling antara yang terkaya di dunia.

Jadi persoalan saya ialah sejauh mana kerajaan cuba melihat penyelesaian yang lebih baik daripada apa yang kita gunakan dalam masa yang sama kita lihat kos ataupun tender yang dikeluarkan untuk projek hakisan pantai ini untuk tambakan. Sebagai contoh di Terengganu, dikeluarkan hanya pada 15 April 2013 sedangkan isu ini telah berlaku sejak tahun 2009 lagi.

Ertinya berlaku kelewatan pada pihak kerajaan menangani isu ini di samping menggunakan kos yang sangat mahal yang menurut kajiannya tidak memberikan kesan yang besar kepada cara menangani isu hakisan pantai tadi. Terima kasih.

Dato' Dr. James Dawos Mamit:
Terima kasih Yang Berhormat daripada Kuala Nerus. Hakisan pantai ada dua jenis yang berlaku sebab kawasan pantai sememangnya sudah didefinisikan sebagai kawasan di tepi laut. Satu, tebing. Jika tidak ada pasir pantai di situ, maknanya itu hanya tebing dan tebing pun boleh dihakis oleh breaker wave yang tinggi yang saya sebutkan tadi.

Kedua adalah hakisan pantai yang berpasir. Hakisan pantai biasanya berlaku di waktu breaker wave yang tinggi tadi tetapi selepas itu air pasang surut, maka air pasang ini sebab ianya kuat, breaker wave yang tinggi membawa pasir lari ke laut. ■

Oleh itu jika dibuat pasir ataupun pantai dengan lebih baik lagi, kita menggunakan pasirlah yang kita namakan rehabilitation. Pantai-pantai ini yang perlu rehabilitation, selepas itu kita cari pasir daripada tempat lain dan masukkan di situ.

Sekiranya tapak itu sememangnya satu destinasi pelancongan, itu semestinya dipercepatkan. Di seluruh negara sudah ada projek seperti ini termasuk di Port Dickson. Akan tetapi yang buat ini kerana ia adalah tarikan pelancong, maka Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang bertanggungjawab untuk buat rehabilitation seperti ini seperti di Port Dickson. Di mana saya dulu sebagai Timbalan Menteri Pelancongan telah pun melawat dan memberi nasihat bagaimanakah untuk buat ini. Sekian, terima kasih.  

Thursday, 27 July 2017

TIDAK WAJAR JUAL PLUS KEPADA SYARIKAT MILIK INDIVIDU*

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus*

Khamis 27 Julai 2017 | 03 Zulkaedah 1438H

*TIDAK WAJAR JUAL PLUS KEPADA SYARIKAT MILIK INDIVIDU*

1. Saya merujuk kepada suatu laporan oleh The Edge pada 24 Julai lalu yang menyatakan bahawa Tan Sri Abu Sahid Mohamad, pemilik Maju Holdings Sdn. Bhd. mahu mengambil alih syarikat pengendali konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd. dengan membeli 51% saham UEM Group Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd.

2. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa TS Abu Sahid Mohamad turut berhasrat untuk membeli 49% lagi saham PLUS Malaysia Bhd. milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

3. Sekalipun rundingan mengenainya masih belum dimulakan, apa yang mendukacitakan ialah apabila TS Abu Sahid Mohamad memaklumkan bahawa beliau amat yakin akan berjaya mengambil alih PLUS Malaysia Bhd. kerana telah mendapat restu daripada pihak tertinggi dalam negara.

4. Oleh demikian, saya menggesa Kerajaan agar segera membuat penjelasan berhubung isu ini memandangkan PLUS Malaysia Bhd. adalah pengusaha lebuh raya bertol terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara yang memiliki dan menguruskan aset yang amat strategik milik negara yang tidak wajar untuk ia dipindahmilikkan kepada mana-mana syarikat milik individu lain.

5. Perlu diberikan perhatian bahawa lebuh raya ini adalah aset matang yang menyediakan peruntukan deviden yang stabil terutamanya kepada pencarum-pencarum KWSP. Sekiranya KWSP tidak lagi mempunyai hak pemilikan ini, dividen kepada para pencarum pasti akan terjejas.

6. Selain itu, sekiranya ia tidak lagi menjadi milik Kerajaan, rundingan mengenai kenaikan kadar tol akan menjadi lebih terhad. Berbanding sekarang, kadar tol di jajaran Lebuh Raya Utara-Selatan sepanjang 960 km itu tertakluk kepada kajian setiap 3 tahun dan hanya melibatkan agensi milik Kerajaan menjadikannya lebih anjal untuk dirundingkan termasuk boleh untuk membuat penangguhan.

7. Jika ia menjadi milik individu, penangguhan ini hampir mustahil boleh berlaku bahkan Kerajaan juga berkemungkinan menghadapi risiko lain seperti disaman dan meningkatkan perbelanjaan negara akibat perlu membayar pampasan justeru rakyat juga pastinya akan turut sama terbeban.

Sekian.

_*”Sejahtera Bersama Islam”*_

*YB. DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1662155507127806&id=569086473101387

Friday, 7 July 2017

Kemenangan Islam Sudah Hampir

Kemenangan Islam itu hampir. Sabarlah dengan liku-liku perjuangan. Berjuanglah dengan strategi perjuangan yang berpandukan wahyu. Janganlah terpedaya dengan hiasan kata manis musuh. Usah bimbang dengan panahan beracun mereka. Teruskan berjalan merentasi lorong istiqamah. InsyaAllah segera kita sampai ke penghujung.

Dr Khairuddin at-Takiri

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1635173216492702&id=569086473101387

Pimpinan PAS Komited Menangkan Islam

Semua pimpinan tertinggi PAS insyallah komited memenangkan Islam menerusi PAS dalam PRU ke 14. Segala tindakan mereka insyallah berstrategi untuk mensasarkan kemenangan PAS. Berikan kepercayaan sepenuhnya kepada pimpinan insyallah. Tiada yang khianat dalam melaksanakan amanah ini di bawah kepimpinan dan naungan Tuan Guru Presiden, seorang pemimpin berilmu dan bersifat "'aabid" hamba kepada Allah yang melihat jauh ke hadapan dengan firasat seorang mukmin. Jika ahli begitu mencita-citakan kemenangan Islam maka pimpinan PAS lebih-lebih lagi mencintai kemenangan itu.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1635189526491071&id=569086473101387

Mat Dang Fasih Melayu Tapi Ahli Politik "Gagap"

Dr Khairuddin at-Takiri persoal ahli politik "gagap" bahasa melayu http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/mat-dang-fasih-bm-kenapa-ahli-politik-gagap-1.697436

Jangan Teruja Tindakan Musuh

Teruskan menegur KEMUNGKARAN dengan cara kita sendiri. Usah teruja dengan tindakan negara luar melibatkan skandal dalaman negara. Cukuplah sejarah silam menyaksikan ahli politik bergaduh berebut takhta akhirnya teruja dengan bantuan Inggeris dan akhirnya mengundang campur tangan mereka. Negara luar bertindak untuk kepentingan mereka bukannya kebaikan untuk negara ini.

Dr Khairuddin at-Takiri

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1637854999557857&id=569086473101387

Manipulasi Perselisihan Ulamak

Ada ilmuwan kecil di akhir zaman menjadikan perselisihan ulamak silam dalam perkara cabang fiqh sebagai alasan bagi menonjolkan pandangan-pandangan yang longgar.  *Mereka bukan mahu menjaga Islam. Mereka juga tidak bertujuan mencari redha Allah dalam membahaskan hukum Allah*. Mereka hanya mencari mana pandangan yang longgar bersifat picisan bagi menjustifikasikan kehendak nafsu mereka. Ia selari pula dengan pelan perancangan sekelompok muslim liberal yang ingin merungkai hukum-hakam Islam dengan dalih kononnya Islam adalah agama yang mudah tidak memberatkan. Berhati-hatilah. Ilmuwan Islam tidak hanya dipandang pada ilmunya tetapi juga takwanya.

Dr Khairuddin at-Takiri

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1639316672745023&id=569086473101387