Wednesday 2 October 2013

Semakan Tahaaluf Siyaasi Untuk Penambahbaikan - Wawancara Dr Khairuddin dgn The Malaysian Insider

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tahaluf-siasi-ulama-pertahan-resolusi-demi-kepentingan-pas
Tahaluf siasi: Ulama pertahan resolusi demi kepentingan PAS
OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
OCTOBER 02, 2013


Tahaluf siasi dikaji semula untuk penambahbaikan PAS, kata Dr Mohd Khairudin Aman Razali. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 2 Oktober, 2013.
Ulama PAS mempertahankan cadangannya supaya tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan Pakatan Rakyat (PR) khasnya PKR dikaji semula oleh parti Islam itu untuk penambahbaikan dan bukan bertujuan mengajak PAS meninggalkan PR.

Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider berkata, cadangan dibuat berdasarkan aduan dan maklum balas yang diterima mereka.

"Kita menerima pelbagai aduan yang melibatkan hubungan PAS dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Kita tidak boleh sapu aduan itu ke bawah karpet. Itu amalan tidak betul.

"Jadi kita bawa berbincang dan akhirnya dibawa ke Multaqa Ulama di Alor Setar dan diluluskan dalam bentuk resolusi," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Khairudin berkata demikian ketika mengulas kekecohan yang berlaku dalam PAS sekarang ekoran resolusi yang dibuat Dewan Ulama dalam perhimpunan mereka di Alor Setar.

Ia bermula dengan ucapan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib yang mencadangkan multaqa itu mengkaji kerjasama politik dengan PR khasnya dengan PKR.

Dua pemimpin PAS menyifatkan resolusi itu menghantar mesej yang salah seolah-olah ulama meminta PAS keluar dari PR.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiuasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan resolusi itu satu tindakan yang tidak bijak.

Khairudin berkata, PAS sudah melaksanakan tahaluf siasi sejak 1959 lagi dengan pihak berbeza dan ia sentiasa dikaji untuk kepentingan parti Islam itu.

Semasa pilihan raya umum lalu, katanya, ada kerjasama tidak berapa baik di kalangan PAS dengan PKR khasnya berlaku perebutan kerusi, ada ahli PAS yang menyertai parti lain dan sebagainya.

"Memang semasa perang kita diamlah kerana kita cuba fokus kepada lawan kita. Tetapi dalam keadaan perang sudah reda, kita bolehlah bersuara dan muhasabah kembali," katanya.

Khairudin menafikan PAS dan PKR serta DAP bersatu dalam hakikat satu parti atau 'perkahwinan' kerana kerjasama dengan kedua-duanya adalah persefahaman sahaja.

"Tidak tepat kiaskan dengan perkahwinan kerana Pakatan Rakyat hanya persefahaman tiga parti sahaja. Jadi ada yang kita bersama dan ada yang berbeza.

"Perkahwinan belum berlaku lagi. Kita belum kita lagi kerana mungkin ada yang belum selesai," katanya.


Perkahwinan belum berlaku antara PAS-PKR-DAP, kata Dr Mohamad Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, setiap parti dalam PR mempunyai matlamat masing-masing dan yang menyatukan mereka adalah untuk melawan musuh yang sama iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN).

Khairudin berkata, kenyataan Mursyidul Am, Presiden dan Ketua Penerangan PAS mereka akan memperkuatkan PR adalah tidak bertentangan dengan resolusi multaqa mereka.

"Ia tidak ada masalah kerana ia terhasil selepas menyemaknya. Ulama minta PAS semak, bila semak presiden dan mursyidul am buat kenyataan akan perkuatkan Pakatan," katanya.

Berhubung dengan usul dalam muktamar untuk membolehkan ia dibahaskan, Khairudin berkata, Dewan Ulama Pusat menyerahkan kepada ulama negeri-negeri untuk menilainya.

"Jika mereka setuju dengan pandangan, ia akan dijadikan usul ke peringkat pusat dan kalau muktamar Dewan Ulama pula meluluskannya, kita akan bawa dalam Mukatamar Pusat," katanya. - 2 Oktober, 2013.

No comments:

Post a Comment