Wednesday 5 February 2014

Kenayataan Media Pemuda Isu PRK Kajang

Kenyataan Media
Pemuda Pas Malaysia
4.2.2014

Pemuda Pas Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Lujnah Politik sejurus selepas mesyuarat Lujnah Politik Pas Pusat pada 3hb Februari 2014. Kami membuat ketetapan untuk bersama dalam Pilihanraya Kecil DUN Kajang bagi membantu kemenangan Pakatan Rakyat. Pemuda PAS Malaysia telah bersetuju melantik Sdr Hairul Nizam Bin Tohar, Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Selangor sebagai Ketua Penyelaras Pilihanraya Kecil N25 Kajang.

Sekiranya berlaku pertandingan, Pemuda Pas Malaysia mendesak SPR melaksanakan pilihanraya dengan bersih, adil dan saksama. Mana-mana pihak yang bertanding hendaklah mengelakkan pembaziran dari berlaku. Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor perlu mengelakkan projek-projek "mee segera" yang akan mengorbankan wang rakyat. Rakyat yang terkesan dengan kenaikkan harga barang akan  menghukum mana-mana pihak yang dilihat membazir.

Pemuda Pas merasa kesal terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang yang dilaksanakan secara tergesa-gesa, membazir masa dan duit rakyat. Ia juga mendedahkan Pakatan Rakyat kepada risiko kemerosotan sokongan rakyat. Walaubagaimanapun kita menghormati muafakat Pakatan Rakyat yang memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihanraya lepas. Justeru Pemuda PAS mendesak agar mana-mana komponen Pakatan Rakyat tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang.

Pemuda PAS juga ingin mempertegaskan bahawa menyokong Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Calon Pilihanraya Kecil DUN Kajang tidak bermakna Pemuda PAS bersetuju beliau menjadi Menteri Besar Selangor. Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret Pakatan Rakyat membincangkan isu Menteri Besar Selangor yang baru. Pemuda PAS mendesak agar isu Menteri Besar dihentikan segara kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan.

Suhaizan Kaiat
Ketua Pemuda PAS Malaysia.

No comments:

Post a Comment