Friday 18 April 2014

Tarikh Lebuh Raya Pantai Timur 2 Siap Beranjak Lagi

Tarikh Lebuh Raya Pantai Timur 2 Siap Beranjak Lagi

1. Pada 15 April 2014, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, YB Ir. Rosli Othman, dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Jabor - Kuala Terengganu sepanjang 184 kilometer yang dianggarkan membabitkan perbelanjaan RM4.25 bilion dijangka siap sepenuhnya Disember 2014.

2. Menariknya pada 26 Januari 2014, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof dilaporkan berkata, ia dijangka siap pada September 2014. Ia disebut ketika perasmian pembukaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Bukit Besi-Paka melibatkan peruntukan RM514 juta sejauh 35 kilometer.

3. Menurut beliau, Kerajaan Terengganu memohon projek itu disiapkan sebelum Aidilfitri ini dan Kementerian akan berusaha agar permintaan tersebut dapat ditunaikan kerana kira-kira 80 kilometer lagi LPT2 yang masih belum disiapkan di mana kerja-kerja pembinaan kini mencapai 70 peratus.

4. Sebelumnya pada Oktober 2013, YB Ir. Rosli Othman juga memberi jaminan projek itu akan siap dan dibuka sepenuhnya pada September 2014 semasa menjawab soalan lisan Azan Ismail (PKR-Bandar) pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 yang lalu.

5. Jun tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata sehingga 30 Jun 2013, projek LPT2 sepanjang 184 kilometer itu telah mencapai kemajuan fizikal pada 88.5 peratus.

6. Sebelumnya lagi pada penghujung 2012, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Soon mengumumkan di Parlimen bahawa LPT2 hanya dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada Ogos 2014.

7. Timbalan Menteri berkenaan juga menyatakan bahawa sebab utama berlakunya kelewatan ia disiapkan adalah kerana  kegagalan kontraktor menyiapkannya mengikut tempoh yang ditetapkan kerana kesan daripada kenaikan harga barangan pembuatan pada 2007-2008. Akibatnya, 10 dari pakej lebuhraya itu terpaksa ditender semula.

8. LPT2 merupakan projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk Terengganu sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu. Ia kesinambungan daripada projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer .

9. Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

10. Ia dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion dan dijadualkan siap akhir 2010. Namun ia gagal disiapkan mengikut jadual dan telah beberapa kali distruktur semula oleh kerajaan dan akhir sekali 70 peratus projek berkenaan telah diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

11. Kos asal RM3.7 bilion telah meningkat sekarang kepada RM4.5 bilion disebabkan pertambahan tempoh masa dan pengstrukturan semula projek beberapa kali dan pertukaran kontraktor.

12. Pada 22 Ogos 2011, selepas 5 tahun 5 bulan projek berjalan, kerajaan membuka sebahagian jajaran LPT2 kepada laluan awam sepanjang 70 kilometer dari pakej 12 di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu hingga pakej 10 di persimpangan Bukit Besi.

13. 2 tahun 5 bulan kemudiannya, pada Januari 2014 laluan dari Bukit Besi ke Paka sejauh 35 kilometer disiapkan dan dibuka.

14. Sekarang, selepas 8 tahun projek berjalan dengan 105 kilometer telah disiapkan daripada 184 kilometer keseluruhan projek, berbaki lagi 79 kilometer sedang disiapkan. Tempoh yang ada sekarang sehingga Disember 2014 ialah 8 bulan. Adakah rakyat Terengganu boleh percaya ia akan siap pada Disember 2014 atau akan tertangguh lagi dengan pelbagai alasan? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

15. Saya mendesak kerajaan negeri dan kementerian yang bertanggungjawab untuk menjelaskan status sebenar projek LPT2 dan tempoh sebenar projek ini dapat disiapkan. Ini kerana projek LPT2 mengalami kelewatan dan penangguhan projek yang tidak munasabah memandangkan perubahan demi perubahan dan percanggahan tentang tempoh akhir yang berlaku di antara kerajaan negeri dan kementerian.

16. Saya juga menggesa kementerian yang terlibat supaya memantau dengan lebih mendalam mengenai pengurusan projek secara keseluruhan supaya proses penyiapan projek yang mencecah kos berbilion ringgit ini dapat disegerakan.

17. Doa saya agar ia mampu disiapkan lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu pada Disember 2014.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Jumaat 18 hb April 2014

No comments:

Post a Comment