Thursday 8 May 2014

Hudud: Perang antara komponen BN meletus

Hudud: Perang antara komponen BN meletus
HARAKAHDAILY | 08 Mei 2014.
KUALA LUMPUR: Isu hudud yang timbul semula ekoran cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat kini menjadikan hubungan antara parti-parti dalam BN seperti dilanggar garuda. 

Terbaru laman rasmi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) yang diterajui Umno menyelar rakan sekutunya MCA kerana mengancam untuk keluar daripada BN jika rang undang-undang persendirian itu dibawa ke Parlimen.

Dalam berita bertajuk "Tidak perlu MCA turut melalak macam DAP tentang hudud", BNBBC mengecam MCA khususnya Timbalan Presiden parti itu, Datuk Wee Ka Siong kerana membuat kenyataan terbuka mahu mengkaji kedudukan MCA dalam BN.

“…bila MCA, komponen dalam Barisan Nasional (BN) turut mempertikainya (hudud), timbul persoalan apakah motif parti kaum Cina itu yang semakin hilang pengaruh berbanding DAP.

“Tentu amat biadab apabila pemimpin MCA khususnya timbalan presiden parti, Datuk Wee Ka Siong membuat kenyataan terbuka mahu mengkaji kedudukan MCA dalam BN,” berita itu dipetik.

BNBBC menganggap Wee (gambar) yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan menteri penuh dalam kabinet bercakap seolah-olah MCA mendominasi BN tanpa menghormati Umno yang selalu bertolak ansur dalam agihan kerusi pilihan raya.

“Apatah lagi, MCA menyatakan tentangan terbuka terhadap hudud ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berkira-kira mahu mengembalikan kuota MCA dalam Kabinet walaupun umum tahu, prestasi MCA terus merudum dalam PRU 13.

“Pastinya, amat tidak bijak tindakan Ka Siong dan beberapa pemimpin MCA lain yang menyatakan pendirian mereka menolak hudud,” kandungan berita itu dipetik.

BNBBC menambah, MCA tidak sepatutnya melatah atau mahu berlagak hero bagi menunjukkan kepada masyarakat Cina bahawa parti itu memperjuangkan kaum tersebut.

“Rakyat tahu, dalam perkara ini DAP lebih berjaya berbanding MCA,” lapor laman itu sinis.

BNBBC turut memperlekehkan MCA yang dianggap berpura-pura dengan mengancam untuk mengumpul ribuan orang bagi mengepung Parlimen bagi menghalang rang undang-undang persendirian berkaitan hudud daripada dibentangkan sedangkan sokongan pengundi Cina terhadap parti itu merudum.

“Sama ada Ka Siong atau presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai, mereka sepatutnya lebih bijak dengan menyatakan pendirian ketika rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen kelak.

“Maksudnya, lebih baik MCA berdiam diri jika mereka tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud bukannya bertindak menikam Umno yang sudah menyatakan tidak akan menolak hukum tersebut,” tegas BNBBC.

BNBBC juga menasihati MCA supaya menghormati proses demokrasi di Parlimen, begitu juga komponen BN lain yang mungkin tidak bersetuju dengan hudud.

“Paling tidak pun, MCA harus menanti rumusan jawatankuasa teknikal menilai rang undang-undang berkenaan sebelum membuta tuli menentangnya.

“Atau sekurang-kurangnya pimpinan parti itu mendapatkan penerangan mengenai hudud daripada Umno terlebih dahulu.

“Jika MCA masih berkeras mahu mengkaji kedudukan dalam BN ataupun sudah merancang mahu keluar daripada BN, UMNO tentu tidak akan menghalang,” berita laman BNBBC itu menyebut. - HARAKAHDAILY, 8/4/2014
Copyright © 2014 Harakah.

Hudud: Perang antara komponen BN meletus - http://m.harakahdaily.net/index.php/headline/27749-hudud-perang-antara-komponen-bn-meletus

No comments:

Post a Comment