Wednesday 7 May 2014

Taksiran Cukai Pintu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Perlu Dinilai Kembali dan Dibantah

SEBARKAN
Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu 7hb Mei 2014

Taksiran Cukai Pintu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Perlu Dinilai Kembali dan Dibantah

NOTIS SEMAKAN SENARAI NILAIAN yang dikeluarkan oleh MBKT bertarikh 15hb Mac  2014  kepada premis-premis kediaman dan perniagaan di kawasan MBKT wajar dibantah secara besar-besaran oleh rakyat dan ditarik balik oleh MBKT berdasarkan alasan-alasan berikut:

1. Jika diamati dengan teliti, cadangan kenaikan cukai taksiran MBKT untuk mengimbangi kos pengurusan pada tahun depan adalah tidak relevan. Ini kerana Dana Khas Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya daripada hasil minyak dan gas dianggarkan akan terus meningkat pada tahun 2014 dan 2015 sehingga meliputi 90% daripada jumlah hasil kerajaan negeri.  
 
Oleh yang demikian, peningkatan hasil berkenaan sewajarnya tidak membebankan lagi kewangan rakyat sebaliknya ia mestilah diagihkan dengan lebih adil disamping mengelakkan perbelanjaan kerajaan negeri yang tidak perlu.

2. Konsep cukai dalam Islam sewajarnya berdasarkan sesuatu yang mendatangkan hasil. Sedangkan cukai taksiran atau cukai pintu bukan sahaja dikenakan ke atas rumah sewa dan premis perniagaan tetapi juga rumah kediaman yang merupakan satu keperluan rakyat dan tidak diperniagakan.

3. Kita akui bahawa berlaku kenaikan harga bagi setiap jenis hartanah yang boleh mempengaruhi anggaran sewa kasar semasa di Kuala Terengganu. Namun, cadangan penetapan kadar 10% bagi cukai taksiran tahun depan perlu dijustifikasikan secara adil kerana ia adalah tinggi dan berlaku secara mendadak.
 
4. Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga harus bersikap telus dengan mengemukakan unjuran Anggaran Belanjawan Majlis serta kos pengurusan dan pembangunan tahun 2015 bagi mewajarkan cadangan penetapan kadar 10% tersebut.

5. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat beberapa kes cadangan kadar baru cukai taksiran yang ditetapkan menjangkau sehingga 600 peratus. Peningkatan ini tidak masuk akal.
 
6. Ia juga harus mengambil kira bebanan kewangan yang ditanggung oleh rakyat setelah berlaku pelbagai pakej kenaikan harga barang dan perkhidmatan sejak tahun 2013 hingga tahun ini.
 
7. Pada April tahun depan pula, Kerajaan Pusat akan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan sebanyak 6% dan ia secara langsung akan memberikan impak inflasi sehingga ke 4.1% menurut sebahagian pengkaji ekonomi dan berlaku kenaikan mendadak sehingga 2% hingga 3% bagi Indeks Harga Pengguna.

Saya turut menyeru supaya rakyat Kuala Terengganu segera mengambil kesempatan waktu yang ada untuk membantah secara bertulis sehingga 2 Jun 2014. PAS Terengganu akan bersama-sama dengan NGO-NGO negeri yang sedia ada akan memobilisasi bantahan dengan lebih meluas sehingga cadangan kenaikan cukai taksiran ditangguhkan.

YB Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
 
 

No comments:

Post a Comment