Sunday 29 June 2014

Selamat Me yambut dan Menghayati Keberkatan Ramadhan

Darul Fuqaha - Utama - http://darulfuqaha.net/

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 1)

Selamat Menyambut dan Menghayati Keberkatan Ramadhan

1. Malam ini bermula 1 Ramadhan 1435 H. Saya mengucapkan selamat beribadah kepada seluruh umat Islam. Moga Ramadhan kali ini mampu menjadikan kita lebih bertaqwa kepada Allah.

2. Dalam banyak hadis Nabi saw bulan Ramadhan disebut sebagai bulan "mubaarak" iaitu bulan yang diberi keberkatan.

3. Keberkatan atau barakah merujuk kepada kebaikan yang banyak serta berpanjangan. Kebaikan yang ada pada bulan Ramadhan boleh dimanfaatkan dengan pelbagai ibadah bermula malam ini dengan 3 ibadah besar iaitu Solat Tarawih dan Solat Witir yang merupakan ibadah sunat pada malam ini dan seterusnya berpuasa yang merupakan ibadah wajib dengan menahan lapar dan menjaga pancaindera daripada maksiat pada esok harinya.

4. Ibadah-ibadah iringan lainnya antaranya ialah
1. Membaca al-Quran khususnya bertadarus seperti amalan Nabi saw bersama Jibril a.s.
2. Solat malam
3. Bersahur berasaskan sunnah Rasulullah saw
4. Berbuka puasa berasaskan sunnah Rasulullah saw
5. Membanyakkan Sedekah
6. Membanyakkan kebajikan
7. Membanyakkan zikir
8. Membanyakkan kuliah ilmu
9. Menjaga solat berjamaah
10. Beriktikaf di surau dan masjid

5. Ibadah-ibadah ini sekiranya dilakukan sepanjang Ramadhan secara lebih berfokus dan istiqamah mampu melahirkan muslim bertaqwa yang bukan hanya menjadi hamba di bulan Ramadhan tetapi juga hamba-hamba Allah sepanjang tahun sehingga ke bulan Ramadhan seterusnya.

6. Barakah Ramadhan serta kebaikannya boleh disaksikan menerusi beberapa kelebihan yang disebut dalam hadis-hadis Sahih antaranya 3 perkara iaitu pertama, terbuka pintu-pintu Syurga, kedua, ditutup pintu-pintu Neraka dan ketiga dibelenggu Syaitan-syaitan.

7. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Anas r.a bahawa Nabi saw bersabda:
عن أنس رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " هذا شهر رمضان جاءكم تفتح فيه أبواب الجنة وتغلق فيه أبواب النار وتسلسل فيه الشياطين "
Maksudnya: "Bulan Ramadhan ini telah datang kepada kamu. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka tertutup dan dibelenggu syaitan-syaitan"

Hadis riwayat Imam Nasaei dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

8. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Abi Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda:
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :" إذا كان أول ليلة من شهر رمضان صفدت الشياطين ومردة الجن ، وغلقت أبواب النار فلم يفتح منها باب ، وفتحت أبواب الجنة فلم يغلق منها باب ، وينادى مناد كل ليلة : يا باغي الخير أقبل ويا باغي الشر أقصر ، ولله عتقاء من النار وذلك كل ليلة "

Maksudnya: "apabila malam pertama bulan Ramadhan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin-jin jahat penderhaka, ditutup pintu-pintu neraka lalu tidak dibuka walaupun satu pintu, dibuka pintu-pintu syurga lalu tidak ditutup walaupun satu pintu. Setiap malam ada Malaikat yang menyeru; wahai orang yang mencari kebaikan, datanglah menyahut! Wahai orang yang mencari kejahatan, hentikanlah! Allah Taala mempunyai orang-orang yang dilepaskan daripada neraka. Ia berlaku setiap malam"

Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Baihaqi serta dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

9. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Abi Hurairah juga bahawa Nabi saw bersabda:
وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :" أتاكم شهر رمضان شهر مبارك فرض الله عليكم صيامه تفتح فيه أبواب الجنة ،وتغلق فيه أبواب الجحيم ، وتغل فيه مردة الشياطين ، وفيه ليلة خير من ألف شهر من حُرم خيرها فقد حُرم "
Maksudnya: "Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan "mubaarak" yang diberkati. Allah fardhukan ke atas kamu berpuasa. Dibuka pintu-pintu Syurga. Ditutup pintu-pintu neraka. Dibelenggu Syaitan-syaitan derhaka. Terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terhalang mendapat kebaikannya maka dia pasti terhalang mendapat kebaikan."

Hadis riwayat Imam Nasaei dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

10. Menurut Imam Nawawi r.h. yang menukilkan huraian Qadi 'Iyaadh r.h., maksud terbuka pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu Syaitan-syaitan boleh jadi bermaksud makna hakikat sebenar. Terbukanya pintu syurga, tertutup pintu neraka dan dibelenggunya Syaitan adalah petanda bermulanya bulan tersebut dan membesar-besarkan kemuliaannya. Belenggu kepada Syaitan berlaku supaya mereka tidak boleh menyakiti dan membisikkan kejahatan kepada orang-orang beriman.

11. Ia juga boleh jadi memberi makna kiasan iaitu sebagai isyarat banyaknya pahala dan keampunan. Syaitan pula semakin berkurangan gangguan dan bisikan jahat mereka seolah-olah mereka terbelenggu. Terbelenggunya mereka bererti terbelenggu daripada melakukan beberapa perkara dan sebilangan manusia.

12. Tafsiran makna kiasan ini diperkuat oleh riwayat hadis yang menyebut "terbuka pintu rahmat" dan juga riwayat lain menyebut "terbelenggu Syaitan-syaitan derhaka".

13. Menurut Qadi 'Iyaadh r.h. lagi, barangkali terbukanya pintu Syurga adalah perumpamaan bagi terbukanya ruang ketaatan untuk hamba-hamba di bulan ini yang tidak berlaku pada bulan yang lain secara umumnya seperti ibadah puasa, qiyam Ramadhan, perlakuan kebajikan dan banyak perlakuan yang bercanggah dengan tuntutan agama ditinggalkan. Ini semua adalah sebab untuk masuk ke  Syurga dan terbukanya pintu Syurga. Demikian juga tertutupnya pintu Neraka dan terbelenggunya Syaitan adalah kiasan bagi banyak kesalahan-kesalahan agama yang ditinggalkan.
(Rujuk Syarah Sahih Muslim juz 7 hlmn 188)

14. Nafsu keinginan manusia dididik menerusi ibadah puasa. Itulah barakah bulan Ramadhan.  Terbelenggunya Syaitan sekiranya ditafsirkan dengan makna hakiki adalah satu lagi barakah bulan Ramadhan. Ia merupakan satu bantuan besar daripada Allah untuk hamba-hambanya melakukan ketaatan kerana Syaitan berperanan menghasut nafsu manusia melakukan kejahatan.

15. Apabila nafsu telah terdidik dan Syaitan pula terbelenggu maka itulah nikmat besar barakah bulan Ramadhan. Di saat itu laluan ke Syurga sudah pasti dimudahkan.

Ya Allah jadikanlah kami di kalangan ahli SyurgaMu ya Allah.

Disediakan oleh:

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 28 Jun 2014
mlm 1hb Ramadhan 1435 H
10.59 mlm.

No comments:

Post a Comment