Thursday 12 June 2014

Soalan Parlimen; Peranan Kerajaan Pusat Menerangkan Hudud

DEWAN RAKYAT
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA
PARLIMEN KETIGA BELAS 2014

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA      : YB DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI (KUALA NERUS)
TARIKH            : 9 JUN 2014 (ISNIN)

SOALAN :

Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) minta Perdana Menteri menyatakan peranan yang telah diusahakan oleh kerajaan dalam menerangkan Undang-undang  Jenayah islam di Malaysia kepada rakyat.

JAWAPAN :

YB SENATOR MEJAR JENERAL DATO' JAMIL KHIR BIN HAJI BAHAROM (B), MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri

Tuan Yang di Pertua,
Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, objektif undang-undang jenayah syariah adalah untuk menghalang penjenayah, melindungi hak-hak ketenteraman masyarakat. Untuk itu, kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam ;

i. Peningkatan penghayatan agama
ii. Penyelidikan terencana
iii. Penyelarasan maklumat jenayah syariah
iv. Pemerkasaan pendidikan
v. Pemantapan institusi keluarga
vi. Pengukuhan undang-undang
vii. Kolaborasi strategik inter-agensi

Pelan ini dibangunkan sebagai menyambut pelaksanaan dasar sosial negara (DSN) yang merupakan pelan pembangunan sosial berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat di negara ini.

Penjelasan kepada masyarakat bukan Islam pula, peranan ini dilaksanakan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Majlis Dakwah Negara (MDN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Islam yang lain. Perwujudan badan-badan seumpama ini adalah bertujuan untuk memberi kefahaman Islam yang tepat termasuk undang-undang jenayah syariah kepada masyarakat umum melalui pelbagai program dan aktiviti seperti penyelidikan, seminar, dialog, bengkel, forum, perundingan latihan dan penerbitan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan pada 29 Mei 2014 secara terbuka kepada orang awam sempena Program Dakwah Negara 2014. Tujuan utama Muzakarah ini adalah untuk mencetuskan perbincangan secara konstruktif dan objektif berteraskan ilmu dan fakta mengenai pelaksanaan hudud di malaysia yang melibatkan para ulamak, cendekiawan, wakil parti-parti politik dan pemimpin masyarakat. Program seperti ini sedikit sebanyak dapat menzahirkan perspektif yang lebih jernih dan luhur mengenai hukum hudud di samping memberikan kefahaman secara tuntas mengenai pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

No comments:

Post a Comment