Sunday 27 July 2014

KETEGASAN PRESIDEN PAS MENJADI CONTOH KEPADA SELURUH PEMIMPIN DAN AHLI PAS DALAM MENANGANI ISU MB SELANGOR - Ust Ismi

KETEGASAN PRESIDEN PAS MENJADI CONTOH KEPADA SELURUH PEMIMPIN DAN AHLI PAS DALAM MENANGANI ISU MB SELANGOR

Parti Politik hakikatnya adalah kuli kepada rakyat. Kita semua perlu bekerja untuk kepentingan rakyat. Bahkan kita sendiri adalah rakyat Malaysia. Sehebat mana pun kita mendakwa diri kita, rakyat jualah yang akan menentukan jatuh bangun kita di pentas pilihanraya.

Tan Sri Khalid Ibrahim bukanlah menteri besar yang lengkap dan sempurna, namun jika dibandingkan prestasi yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat Selangor, beliau berjaya mengemudi Negeri Selangor sehingga mencatatkan keputusan yang sangat cemerlang dalam pilihanraya yang lalu. Ini sudah cukup membuktikan bahawa beliau layak untuk meneruskan khidmat cemerlang beliau sebagai Menteri Besar.

Persoalan kewajaran beliau perlu digugurkan masih belum mampu dijawab dengan baik oleh rakan dari PKR. Justeru tindakan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, mencadangkan agar Tan Sri Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar adalah memenuhi kehendak rakyat, dan itulah yang terbaik pada pandangan semua pihak.

Ada yang mengaitkan krisis kepimpinan di Selangor dengan kesudahan yang berlaku di Kedah. Bagi saya, kedua-dua situasi adalah berbeza dan kitalah sebenarnya yang bertanggungjawab untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku di Selangor. Kita perlu memikul tanggungjawab ini bersama, seorang Menteri Besar tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan jika tiada sokongan daripada kita semua, apalagi jika kawan sendiri pun enggan membantu.

Walaupun PAS tidak pernah diajak berbincang ketika Langkah Kajang dimulakan, dan PAS sendiri menerima tekanan yang hebat daripada akar umbi dalam usaha membantu PKR menghadapi PRK Kajang yang disengajakan, namun Tuan Guru Presiden serta PAS seluruhnya masih memberikan sepenuh kerjasama bagi memastikan kelangsungan perjuangan menegakkan keadilan dan kebajikan di Malaysia dan di Selangor khususnya.

Inilah sikap yang sewajarnya dicontohi oleh pimpinan dalam Pakatan Rakyat, berlapang dada dalam perbezaan dan meraikan pandangan orang lain. Seterusnya meletakkan kepentingan rakyat dan misi perjuangan sebagai fokus utama dalam segala tindakan yang diambil. Inilah sikap sebenar Tuan Guru Presiden yang perlu difahami dan dicontohi.

Saya mengajak seluruh penyokong, pendokong dan pimpinan Pakatan Rakyat untuk kembali mencermati sikap dan pendirian Tuan Guru Presiden, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dan mengambil pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai pedoman dalam membuat keputusan yang terbaik untuk melepasi halangan kecil ini sebelum sampai ke destinasi yang dicitakan.

Ustaz Hj Muhammad Ismi B Mat Taib

Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak
merangkap AJK Dewan Ulamak PAS Pusat
 

No comments:

Post a Comment