Thursday 10 July 2014

Ramadhan dan Gaza; Bulan Kemenangan Islam Dalam Peperangan

Ramadhan dan Gaza; Bulan Kemenangan Islam Dalam Peperangan

Allah swt berfirman dalam Surah
Al Hasyr Ayat 14,

لَا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرًى مُحَصَّنَةٍ أَوْ مِنْ وَرَاءِ جُدُرٍ ۚ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ ۚ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).

1. Bulan Ramadhan adalah bulan kekuatan ummat Islam. Walaupun dalam bulan ini tubuh badan dan jasmani menjadi lemah dek kerana kekurangan makan dan minum, namun jiwa dan rohani mereka yang ditarbiyyah oleh Allah swt melalui ibadah menjadikan mereka gagah dan tabah.

2. Sejak semalam, Gaza sekali lagi diserang secara ganas dan bertubi-tubi membabi buta oleh Rejim Zionis Israel Laknatullah dan mangsa kekejaman ini tanpa mengira kanak-kanak dan warga tua lelaki dan wanita.

3. Sehingga hari ini, jumlah syuhada' penduduk Gaza 25 orang dan yang tercedera seramai 122 orang. Seolah-olah Gaza yang keluasannya seumpama bandar Klang dijadikan bahan dan tempat ujikaji peluru dan roket ciptaan Israel dan Amerika.

4. Yahudi laknatullah juga menyangka bahawa bulan Puasa Ramadhan adalah bulan ummat Islam dalam keadaan lemah iaitu "the weekest point". Oleh itu, serangan Yahudi terhadap penduduk Gaza dilakukan dalam bulan Ramadhan ini kononnya bahawa ummat Islam lemah dan tidak bersedia, ketahuilah sangkaan mereka amatlah meleset.

5. Ummat Islam khasnya pejuang Islam Gaza dan Hamas, bulan Ramadhan inilah yang ditunggu-tunggu kiranya berlakunya pertempuran. Ini kerana bulan ini adalah bulan kemenangan Islam dan bulan kekuatan ummat Islam, bulan memperlihatkan bantuan dan pertolongan Allah swt kepada hambaNya yang dizalimi dan hambaNya yang sedang menginfaqkan jiwa raga dan harta mereka untukNya.

6. Ayat 14 surah Al Hasyr, Allah menceritakan sifat جبان penakut musuh-musuh Islam seperti golongan Yahudi Bani Nadhir dan penyokong sekutu mereka dari kalangan Munafikin pimpinan Abdullah ibn Ubai apabila berhadapan dengan pejuang dan tentera Islam.

7. Musuh-musuh Islam tidak mampu berdepan secara bersemuka dalam pertempuran dengan pejuang Islam. Mereka akan berselindung di sebalik perisai dan tembok yang dibuat oleh mereka ketika mereka menyerang tentera Islam.

8. Punca sifat penakut dan pengecut mereka ini adalah datang dari dalam jiwa musuh-musuh Islam yang begitu lemah. Ianya disebut sendiri oleh Allah swt yang  bersifat عالم بذات الصدور iaitu yang Maha Mengetahui dalam sanubari manusia.

9. Iaitu mereka memiliki keburukan dan sifat bermusuhan antara satu sama lain yang amat teruk, firmanNya, ۚ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ ۚ. Sifat inilah sebenarnya yang melemahkan jiwa musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi dan Munafiqin.

10. Sebagaimana FirmaNya dalam Surah Al Ana'am

قُلْ هُوَ الْقَادِرُ عَلَىٰ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا مِنْ فَوْقِكُمْ أَوْ مِنْ تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا وَيُذِيقَ بَعْضَكُمْ بَأْسَ بَعْضٍ ۗ انْظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ

Katakanlah: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain". Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.

11. Disebabkan penyakit jiwa penakut dan pengecut serta permusuhan yang dahsyat dalam jiwa musuh-musuh Islam itu adalah sebenarnya didatangkan oleh Allah swt sendiri keatas mereka sebagai pertolongan dan bantuan Allah swt kepada para hambaNya dan pejuangNya.

12. Sekalipun kita melihat musuh-musuh Islam ini gagah dan bersatu tetapi sebenarnya keadaan mereka retak menunggu belah. FirmanNya,
تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ
"... engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka)..."

13. Ini kerana matlamat musuh-musuh Islam ini sebenarnya dalam memerangi ummat Islam berbeza-beza pendirian dan hala tuju. Ada diantara mereka yang inginkan pangkat dunia, ada yang kerana bangsa, ada yang kerana inginkan kekayaan dan harta, ada yang kerana benci dan dengki tak tentu pasal dan bermacam-macam niat dan matlamat. Itulah punca kelemahan mereka.

14. Adapun pejuang Islam dan tentera Allah swt hanya memiliki satu matlamat sahaja iaitu Mati Di Jalan Allah swt. Dengan sifat hati yang jelas dan halatuju yang satu inilah membuatkan jiwa ummat Islam menjadi kental dan tabah sekalipun diserang dan dihentam dengan sekuatnya oleh musuh-musuh Islam. Kemenangan yang didambakan oleh pejuang Allah swt yang sebenarnya ialah kemenangan Akhirat dan syurga dipenuhi bidadari dan perhiasan syurga dan nikmatnya.

15. Lihatlah Ramadhan inilah telah tercatat dalam sejarah siri-siri kemenangan dalam peperangan yang hebat dalam sejarah Tamadun Dunia.

A. 17 Ramadhan 2H

Perang Badar Al-Kubra

Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Kemenangan lebih kurang 300 orang  tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.

B. Ramadhan 5H

Persiapan Perang Khandaq

Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy.

C. 20 Ramadhan 8H

Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala

Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.

D. Ramadhan 9H

Perang Tabuk

E. Ramadhan 10H

F. Ramadhan 53H

Kemenangan tentera Islam di Rhodesia.

G. Ramadhan 92H

Islam telah tersebar dan membuka kawasan- kawasan baru sehingga ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria. Spanyol di bawah kekuasaan Raja Rhoderic of the Visigoths. Musa ibn Husair,  Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Rhoderic. Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Rhoderic, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.

H. Ramadhan 584H

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib.

I. Ramadhan 658H

Semasa kemasukan tentera tartar di Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin.
Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut.

16. Senjata dan bilangan ketenteraan bukanlah faktor utama kemenangan dalam peperangan, yang sebenarnya ialah kekuatan pergantungan dan ikatan kepada Allah swt itulah punca dan kekuatan yang hakiki. Allah swt maha berkuasa atas segala sesuatu sekalipun diluar batas akal manusia memikirnya. Walaupun tidak dinafikan bahawa kelengkapan manusiawi dan duniawi penting dalam pertempuran tetapi bukan itulah tempat bergantung hati-hati manusia, tempat bergantungnya hati manusia adalah wajib hanyasanya kepada Allah azzawajalla.

17. Inilah yang dinyatakan oleh Allah swt dalam ayat diatas,

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

"... Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)..."

18. Diantara sumber kekuatan dalam diberikan oleh Allah swt kepada orang yang beriman ialah "Kekuatan Doa" yang diberi gelaran "Senjata Orang Beriman".
Hatta dalam peperangan Badar pun Abu Jahal berdoa kepada Tuhannya, inikan pula kita orang beriman. Doa adalah sumber kekuatan mereka yang beriman dan doa mereka dipanjangkan hanya kepada Allah swt, Tuhan yang satu, dan tiada tuhan yang disembah melainkan Dia. Dialah tempat kami bergantung dan berharap.
"...لا إله الا انت برحمتك نستغيث..."

19. Bermula malam ke 11 di Masjid Haram Makkah, Imam tarawih telah membacakan doa Qunut Nazilah kepada seluruh ummat Islam di seluruh dunia. Disebut dalam doanya ummat Islam Burma (Myanmar), Palestin dan Syria. Pada kebiasaannya doa qunut dibaca pada witir hari ke 15 dan ke atas tetapi ia telah dibaca dan didoakan sejak semalam.

20. Mudah-mudahan doa kita semua diberkati Allah dan dimaqbulkan oleh Allah swt serta memberi kemenangan kepada pejuang-pejuang Islam serata dunia dan sepanjang zaman.
آمين يا رب العالمين

Disediakan oleh :

Al Faqir Ilallahi

Ustaz Muhd Najhan Halim
Setiausaha
LAJNAH PENERANGAN
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
EXCO GENG USTAZ

9 Julai 2014 bersamaan 11 Ramadhan 1435h.
Masjidil Haram
MAKKAH AL MUKARRAMAH

No comments:

Post a Comment