Thursday 16 October 2014

Respon DUPP Terhadap Ucapan Ahli Parlimen Kuching Berhubung Dakwah Islam di Sarawak

Kenyataan Rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

Respon DUPP Terhadap Ucapan Ahli Parlimen Kuching Berhubung Dakwah Islam di Sarawak

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) meneliti dengan tekun ucapan Ahli Parlimen Kuching yang membahaskan Bajet 2015 di Parlimen baru-baru ini yang tersebar luas di media sosial.
( http://youtu.be/yW8wJZolbgg )

2. DUPP berkongsi pandangan dengan beliau dalam melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan Barisan Nasional yang menganaktirikan Sarawak dari sudut peruntukan pembangunan meskipun hasil minyak disedut daripada bumi Sarawak. Kesannya kemiskinan rakyat Sarawak masih ketara walaupun selepas 51 tahun penubuhan Malaysia dan lahir gerakan-gerakan menuntut pemisahan Sarawak daripada Persekutuan yang tidak wajar disokong oleh mana-mana pihak.

3. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menuntut kerajaan memberikan hak selayaknya untuk rakyat Sarawak mendapatkan nikmat pembangunan yang adil termasuk memperolehi 20% royalti minyak. Begitu juga hak negeri Kelantan dan Terengganu untuk mendapatkan royalti minyak yang disedut daripada bumi mereka.

4. DUPP juga berkongsi kekecewaan dengan sikap kerajaan membenarkan tindakan menghasut untuk membakar kitab suci agama lain tanpa diambil sebarang tindakan sebagaimana dilahirkan oleh Ahli Parlimen Kuching. Sikap ekstremis beragama secara emosi dan tidak rasional tidak seharusnya berlaku di Malaysia.

5. Dalam masa yang sama DUPP melahirkan ketidaksetujuannya dengan pandangan beliau yang meminta agar usaha-usaha dakwah Islam di Sarawak dihentikan.

6. Rasionalnya Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia. Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang sebarang usaha dakwah Islam dan kebajikan yang dilakukan sama ada oleh badan rasmi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan seperti Yayasan Amal Malaysia sementelah Islam merupakan agama Persekutuan.

7. Dakwah Islam adalah seruan universal untuk kebaikan umat manusia serta rahmat kepada seluruh alam tanpa sebarang paksaan. Rakyat Malaysia yang belum beragama Islam mempunyai hak untuk mengenali Islam dan seterusnya memeluknya dengan kerelaan hati tanpa sebarang paksaan.

Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Khamis 21 Zulhijjah 1435 / 16 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment