Sunday 9 November 2014

Penghakiman Mahkamah Rayuan Memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Tidak Berperlembagaan Satu Cabaran Terhadap Kedaulatan Perundangan Islam

Kenyataan Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Penghakiman Mahkamah Rayuan  Memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992  Tidak Berperlembagaan Satu Cabaran Terhadap Kedaulatan Perundangan Islam

1.  Keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah ( Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak berperlembagaan pada 7 November 2014 menjadi satu cabaran terhadap kedudukan undang-undang Islam di negara ini.

2. Ia rentetan kes 3 tiga lelaki Islam dituduh di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan di bawah seksyen 66 tersebut kerana memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam lalu membawanya ke Mahkamah Sivil bagi memohon perisytiharan bahawa seksyen tersebut tidak berperlembagaan.

3. Seksyen 66 tersebut adalah seperti berikut:
“Seksyen 66. Lelaki berlagak seperti perempuan.

Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

4. Penghakiman ini menimbulkan persoalan sejauh mana kedudukan Islam di dalam negara ini terpelihara dan berdaulat sedangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan.

5. Peruntukan Islam agama Persekutuan tersebut tidak harus ditafsir menurut kacamata penjajah yang mentafsirkan Islam hanya sebagai amalan upacara keagamaan semata-mata tetapi mesti ditafsirkan sebagai Islam sebagai cara hidup dengan segala perundangannya adalah rujukan tertinggi negara ini dan mana-mana undang-undang yang berlawanan adalah terbatal.

6. Juga menimbulkan persoalan keabsahan dan kedaulatan undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri dengan kuasa yang diperuntukkan oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

7. Keputusan Mahkamah Rayuan ini juga dilihat tidak selaras dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Ia telah diperhalusi oleh Hakim Tan Sri Harun Hashim dalam kes Mohammed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah binti Dato’ Talib [1992] 2 MLJ 793.

8. Implikasi besar hasil keputusan itu ialah
a. Ia menjadi kes rujukan di Mahkamah pada masa depan yang menggugat keabsahan undang-undang Syariah.

b. Membuka ruang untuk lebih banyak pihak tampil mempertikaikan keabsahan undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri.

c. Membuka ruang untuk golongan yang melakukan amalan bercanggah dengan Islam berpesta kerana merasakan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

9. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menuntut Kerajaan Negeri Sembilan secara khusus menerusi Exco Agama dan Majlis Agama Islam Negeri mengambil proses perundangan yang wajar bersifat segera bagi menangani isu ini.

10. DUPP juga menuntut tindakan segera menurut lunas perundangan oleh pihak berwajib yang lain bagi menangani isu ini dengan penuh keprihatinan bermula dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAKIM serta Exco-exco Agama Negeri dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri selaku penasihat dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan/ Raja/ Yamtuan negeri masing-masing dan YDPA bagi negeri yang tidak mempunyai Raja.

11. Para pengamal undang-undang beragama Islam juga perlu segera bangkit memanfaatkan kemampuan ilmu dan kemahiran guaman mereka di bidang ini bagi membantu pihak berwajib memastikan kedaulatan undang-undang Islam di negara ini terpelihara. Ia merupakan satu jihad semasa pada hari ini.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Ahad 16 Muharram 1436 H / 9hb Nov 2014

No comments:

Post a Comment