Tuesday 17 February 2015

NELAYAN TERENGGANU ANTARA TERMISKIN, PERLUKAN PEMBELAAN

Nelayan Terengganu antara termiskin, perlu pembelaan - http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/33918-nelayan-terengganu-antara-termiskin-perlu-pembelaan

Kenyataan Media
NELAYAN TERENGGANU ANTARA TERMISKIN, PERLUKAN PEMBELAAN

Oleh :
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Tarikh : 17 Februari 2015 / 27 Rabiulakhir 1436H

1. Merujuk kepada Laporan Sosio-Ekonomi Nelayan dan Data Isi Rumah yang diterbitkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), purata pendapatan nelayan ke laut bagi Negeri Terengganu adalah RM1,400 sebulan dengan sekumpulan besarnya berpendapatan antara RM518 hingga RM1250 sebulan. Nilai ini berada di bawah paras purata pendapatan nelayan negara iaitu RM1600 sebulan.

2. Berbanding Negeri Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Pahang, semuanya berada di atas purata pendapatan nelayan negara ini. Purata pendapatan serendah RM1,400 ini juga memposisikan nelayan Terengganu berada pada tempat ketiga terendah di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Sembilan (RM1,240) dan Kelantan (RM1,300).

3. Lebih mendukacitakan, suatu kajian terbaru mendapati pendapatan nelayan hanya mengalami peningkatan sebanyak 3.5% sahaja bagi tempoh 10 tahun. Kenaikan dengan kadar yang teramat sedikit ini menjadikan amat mustahil kepada para nelayan untuk memiliki pendapatan boleh guna yang mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana kenaikan kos sara hidup dan kesan kejatuhan nilai mata wang dan pelaksanaan GST pada April nanti, bahkan mungkin akan lebih teruk jika TPPA ditandatangani oleh Kerajaan kelak.

4. Berhubung hal ini, saya mendesak agar pihak berkenaan; Kerajaan Negeri Terengganu, LKIM dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, menumpukan perhatian dan menyelesaikan beberapa perkara berikut :

(i) Pendapatan nelayan Terengganu adalah terjejas akibat daripada pencerobohan nelayan asing khususnya oleh warga Vietnam.

Mereka menggunakan pukat tunda haram dan cara haram bagi menangkap ikan sehingga menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan dan ekosistem laut Terengganu. Isu ini adalah isu lama dan berulang, bahkan sehingga 14 Februari lalu, terdapat 6 orang lagi nelayan asing ditahan. Sikap tegas Jokowi, Presiden Indosnesi harus dicontohi dalam menyelesaikan isu pencerobohan ini.

(ii) Mengurangkan campurtangan orang tengah dengan memperkemaskan sistem pemasaran hasil tangkapan nelayan.

Selain penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, Kerjaan perlu menyediakan suatu mekanisme lain bagi memastikan nelayan merasakan pendapatan mereka terjamin seperti mewujudkan mekanisme yang dapat menunjukkan pulangan yang bakal mereka dapati berdasarkan kuantiti dan kualiti tangkapan ikan mereka. Misalnya ialah dengan mempelbagaikan sistem pemasaran ikan mengikut suatu tujuan tertentu seperti pasaran ikan segar, eksport, ditinkan atau lain-lain jenis ikan yang diproses.

(iii) Mempermudahkan urusan pengeluaran lesen kepada semua nelayan bagi mengelakkan wujudnya nelayan tidak sah sehingga mengakibatkan mereka sukar atau tidak mendapat apa-apa bantuan yang ditawarkan dan terpaksa pula menanggung sendiri apa-apa risiko kemalangan jika berlaku.

Sebagai contoh, daripada 10,730 nelayan di Terengganu, hanya 5,000 orang sahaja yang dapat menikmati peruntukan RM12 juta yang diberikan secara RM200 sebulan. Baki sebanyak 5,730 orang lagi tidak terbela. Bantuan bakul sebanyak RM100 seorang juga sehingga kini masih belum diberikan kepada nelayan.

5. Saya mengharapkan agar nasib para nelayan ini dapat segera dibela dengan bersungguh-sungguh oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Sekian.

Boleh layari www.drtakiri.blogspot.com untuk lain-lain artikel dalam pelbagai isu semasa negara

No comments:

Post a Comment