Monday 16 March 2015

‘DISPENSING SEPARATION’ : Ruang Kapitalis Kuasai Ekonomi Negara

Kenyataan Media
‘DISPENSING SEPARATION’ :
Ruang Kapitalis Kuasai Ekonomi Negara

1. Merujuk kepada isu pengasingan fungsi klinik dan farmasi (dispensing separation), saya membantah cadangan tersebut dan mendesak supaya pengamalan sekarang iaitu klinik juga memberikan ubat kepada pesakit dikekalkan. Adalah terlalu bermudah dan dangkal untuk menyimpulkan bahawa kualiti penjagaan kesihatan akan bertambah lebih baik dengan penguatkuasaan undang-undang pendispensan (dispensation) wajib oleh ahli farmasi. Bantahan dan penegasan ini telah saya sampaikan semasa memberikan ucapan Menjunjung Kasih Titah YDPA di Dewan Rakyat minggu lalu.

2. Sekiranya pengasingan dilakukan, ia hanya akan menambahkan kos yang perlu ditanggung oleh rakyat untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

3. Dalam sistem sedia ada sekarang, pesakit hanya dikenakan caj RM0 hingga RM15 sahaja untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor di klinik. Bahkan, pesakit juga boleh secara langsung mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada doktor untuk diskaun dan ubat-ubatan generik yang lebih murah harganya.

4. Jika diasingkan, ia akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan kerana rakyat atau pesakit perlu membayar kos konsultasi dengan doktor dan kos ubat secara caj berasingan ditambah pula dengan kos sampingan lain seperti kos pengangkutan. Hong Kong, United Kingdom, Korea Selatan dan Taiwan telah melakukan kajian dan membuktikan hal ini. Keadaan ini juga sekaligus menjadikan proses melengkapkan rawatan kesihatan menjadi lebih rumit dan tidak efektif.

5. Sebagai Kerajaan, sepatutnya perlu melihat dan menyediakan cara untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung oleh rakyat lebih-lebih lagi dalam keadaan harga runcit petrol mula mengalami kenaikan yang pasti sekali memberi kesan kenaikan berantai terhadap harga barangan dan perkhidmatan lain; GST pula akan dilaksanakan bermula April ini; tarif elektrik juga akan dinaikkan pada tahun hadapan setelah ditangguhan pada tahun ini.

6. Persoalan yang ingin saya kemukakan ialah kenapa pengasingan ini tetap mahu dilaksanakan dalam sistem kesihatan di Malaysia dalam keadaan negara telah diiktiraf sebagai negara ke-3 terbaik mempunyai sistem kesihatan dan negara maju seperti UK pun menilai semula pelaksanaan ‘dispensing separation’ ini akibat kesan-kesan negatif yang timbul daripada pelaksanaannya.

7. Saya bimbang pengasingan ini akan menjadi satu lagi mata rantai untuk jerung kapitalis bermodal besar menguasai ekonomi melalui industri farmasi. Taikun-taikun dalam industri farmasi akan menapak lebih kukuh dalam pasaran ekonomi negara sehingga menjejaskan pendapatan farmasi-farmasi kecil di negara ini. Keadaan ini mestilah dicegah, kerana ia dilarang oleh Allah s.w.t. dalam firmaNya :

كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ

“(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.” (Surah al-Hasr : 7)

Sekian.

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh : 16 Mac 2015 / 25 Jamadilawal 1436H

__________

Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment