Friday 3 April 2015

Ambiga Keliru Konsep Kesaksian dalam Kanun Jenayah Kelantan dan Hanya Penjenayah Perlu Takut Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan

KENYATAAN MEDIA
Ketua Penerangan
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
3 April 2015

Ambiga Keliru Konsep Kesaksian dalam Kanun Jenayah Kelantan dan Hanya Penjenayah Perlu Takut Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan

Saya meneliti pandangan Datuk S Ambiga dalam satu wacana mengenai perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan yang dilaporkan berkata; “Sebagai bukan Islam, adakah saya takut terhadap hudud? Ya, memang saya takut. Ini adalah kebimbangan saya".

Kanun Jenayah Syariah Menakutkan Penjenayah Bukannya Mangsa Jenayah

1. Suka saya jelaskan bahawa Kanun Jenayah Syariah hanya menakutkan bagi pelaku jenayah bukannya mangsa jenayah. Jika Datuk Ambiga adalah mangsa, maka Datuk tidak perlu takut dan bimbang kerana keadilan Datuk akan terbela. Yang patut bimbang dan takut ialah penjenayah.

2. Hakikatnya, rakyat Malaysia  di seluruh negara sekarang sedang berhadapan dengan kebimbangan dan ketakutan melampau terhadap pelbagai ancaman jenayah termasuk ancaman pukul. Hal ini berlaku kerana undang-undang jenayah Malaysia sejak merdeka terbukti gagal menangani jenayah. Malah jenayah melibatkan ancaman terhadap nyawa dan jasad semakin meningkat. Sebagai  bekas Presiden Majlis Peguam saya yakin Ambiga lebih menyedari hakikat ini.

3. Kehadiran Kanun Jenayah Syariah II Kelantan adalah untuk menakutkan penjenayah dan memberi keamanan kepada rakyat,  bukan sebaliknya. Berilah peluang kepada rakyat Kelantan sama ada muslim dan bukan muslim merasai nikmat keamanan dengan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah nanti.

Datuk S Ambiga takut dipukul di Kelantan apabila Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan?

1. Sebenarnya apabila Kanun ini dilaksanakan ia akan memberi keamanan kepada rakyat. Jenayah akan berkurangan kerana kegerunan terhadap hukuman. Maka insyallah Datuk Ambiga akan lebih selamat apabila ke Kelantan berbanding berada di tempat-tempat lain di seluruh Malaysia.

2. Justeru, Datuk Ambiga sepatutnya melahirkan kebimbangan terhadap kegagalan undang-undang jenayah sekarang berbanding kebimbangan tidak berasas terhadap Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang belum lagi dilaksanakan pun.

3. Yakinlah, sesiapapun yang berada di Kelantan akan merasa selamat selepas Kanun Jenayah ini dilaksanakan. Pertama, kerana penjenayah akan merasa gerun dengan hukuman jenayah yang ditetapkan oleh Islam menyebabkan mereka tidak berani untuk melakukan jenayah. Kedua, jika mereka didapati melakukan jenayah, mereka akan dikenakan hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan, bukan sekadar menghukum bahkan menyedarkan mereka terhadap kesalahan yang dilakukan.

Mangsa Jenayah Bukan Islam Tidak Mendapat Keadilan?

1. Beliau juga dilaporkan berkata; “Saya tidak setuju jika mengatakan ia tiada berkaitan dengan bukan Islam. Jikalau saya menjadi mangsa di Kelantan kerana dipukul oleh seseorang, apa akan jadi?
“Saya boleh bawa kes itu ke Mahkamah Syariah tetapi keterangan saya kurang daripada orang Islam. Adakah itu adil bagi saya sebagai mangsa?"

2. Perlu saya jelaskan, jika jenayah pukul berlaku terhadap bukan Islam maka bukan Islam selaku mangsa jenayah akan mendapat pembelaan di bawah undang-undang Qisas bukannya Hudud. Mangsa diberi pilihan sama ada mengenakan kecederaan yang sama ke atas penjenayah tersebut atas dasar "Qisas" atau menerima pampasan (diyyat) dengan sejumlah wang ganti rugi. Tidakkah itu satu keadilan? Justeru, apa yang ditakuti Ambiga? Adakah anda berasa selamat di tempat selain daripada Kelantan?

Kekeliruan Ambiga Tentang Konsep Kesaksian "BAYYINAH" dan "SYAHADAH"

1. Datuk Ambiga takut keterangan mangsa jenayah tidak diterima kerana mangsa bukan Islam?

Sebenarnya, Kanun Jenayah Shariah Kelantan hendaklah dibaca bersama dengan Enakmen Keterangan Shariah Kelantan 2002. EKSK 2002 tidak melarang bukan Islam menjadi saksi di Mahkamah Shariah bahkan dengan jelas menyebut orang bukan Islam boleh memberi penyaksian dan keterangan atau Bayyinah. Keterangan "Bayyinah" adalah sama sahaja tarafnya sama ada oleh muslim atau bukan muslim. Maka tidak berbangkit isu sebagaimana kata Ambiga "keterangan saya kurang daripada orang Islam. Adakah itu adil bagi saya sebagai mangsa?"

3. Ambiga mungkin keliru tentang konsep keterangan "bayyinah" dan "syahadah" (kesaksian) dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan. Mungkin beliau membayangkan "syahadah" adalah konsep kesaksian biasa yang di amalkan dalam perundangan moden.

4. Mengikut Fiqh Perundangan Islam,  "Bayyinah" adalah umum dan "Syahadah" adalah lebih khusus yang termasuk sebahagian definasi Bayyinah.

5. Sebenarnya, "syahadah" ialah satu konsep keterangan dengan menyebut perkataan "Asyhadu". Ia  diperuntukkan hanya kepada muslim yang adil yang tidak melakukan dosa besar kerana ia melibatkan akujanji. Tujuannya ialah mengukuhkan lagi keterangannya.

6. Dalam undang-undang keterangan Islam di Malaysia seseorang muslim yang menjadi saksi hendaklah memulakan dengan perkataan itu. Ini wujud dalam Enakmen Keterangan Jenayah Shariah Kelantan 2002 dan juga Enakmen Keterangan Jenayah Shariah negeri-negeri seluruh Malaysia.

7. Lafaz "Asyhadu" bukan sahaja tidak diperuntukkan kepada bukan Islam malah ia tidak diterima daripada muslim fasiq kerana ia melibatkan perlakuan dosa tegar.

8. Bagi non Muslim pula tidak ada istilah dosa dan pahala. Justeru, "syahadah" dengan lafaz Asyhadu tidak diperuntukkan bagi mereka.  Tetapi mereka boleh memberi keterangan dan kesaksian di bawah kaedah "bayyinah" tanpa menggunakan istilah perakuan "asyhadu".

9. Begitu juga kesaksian wanita diambil kira di bawah Bayyinah kategori lain yang tetap diterima oleh Hakim.

10. Kesimpulannya, kalau Datuk Ambiga selaku bukan muslim menjadi mangsa jenayah oleh seorang muslim, bagi menghukum pelaku jenayah tersebut, beliau boleh memberi keterangan dan kesaksian di bawah kategori "Bayyinah", lain daripada "Syahadah" di Mahkamah Syariah. Konsep Bayyinah sama sahaja sama ada bagi muslim atau bukan muslim.
Boleh rujuk Bab 2 tentang Saksi, perkara 83 ceraian 1 hingga 7 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2002 Kelantan tentang beza Bayyinah dan Syahadah.

Kempen Pindaan Undang-undang di Parlimen

1. Seperkara lagi, saya juga menganggap pandangan beliau supaya PAS meminda undang-undang di Parlimen terlebih dahulu sebelum membawanya ke peringkat negeri menunjukkan beliau secara asasnya bersetuju dengan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta 355 dan menggunapakai Perkara 76A Perlembagaan yang akan dibawa oleh PAS dalam Sidang Dewan Rakyat nanti bagi membuka laluan untuk Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II.

2. Harapnya beliau akan membantu kempen kepada ahli Parlimen bukan Islam juga untuk menyokongnya.

3. Bezanya, PAS mengambil langkah meluluskan Enakmen tersebut di peringkat negeri terlebih dahulu. Ini juga bermakna tindakan PAS ini tidak melanggari lunas-lunas demokrasi dan menggunakan ruang yang dibenarkan oleh perlembagaan negara.

Sekian.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
AJK Kerja PAS Pusat

Tarikh : Jumaat 3 April 2015 / 13 Jamadilakhir 1436H

__________

Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment