Saturday 9 May 2015

KECURIGAAN ISU 1MDB & TABUNG HAJI PERLUKAN SIASATAN DIRAJA DAN MANDAT BARU KERAJAAN.

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

KECURIGAAN ISU 1MDB & TABUNG HAJI PERLUKAN SIASATAN DIRAJA DAN MANDAT BARU KERAJAAN.

1. Hanya Suruhanjaya Siasatan Di-Raja dan mandat baru yang boleh merungkaikan kecurigaan rakyat terhadap skandal hutang RM42 bilion syarikat 1MDB dan terkini isu pertikaian terhadap dana Tabung Haji dengan nilai RM188.5 juta dan RM578 juta yang dikatakan digunakan untuk membeli tanah daripada syarikat 1MDB yang sedang tenat dengan hutang RM42 bilion (RM42 ribu juta).

2. Tabung Haji adalah antara wang amanah terbesar orang Islam di Malaysia. Menurut satu rekod, pada tahun 2009 simpanan pendeposit Tabung Haji hanyalah RM23.6 bilion. Tetapi dalam tempoh 6 tahun sehingga 2013 simpanan pendeposit telah meningkat hampir sekali ganda iaitu RM45.7 bilion (RM45,700 juta). Ia menunjukkan tahap keyakinan rakyat yabg tinggi terhadap amanah Tabung Haji.

3. Dewan Ulamak PAS Pusat menuntut satu sikap pertanggungjawaban kerajaan bagi merungkaikan apa yang sebenarnya berlaku terhadap dana Tabung Haji. Bukan hanya daripada Pengerusi Tabung Haji malah juga daripada Menteri dijabatan Perdana Menteri dan PM sendiri selaku pihak yang lebih berkuasa dan berautoriti.

4. Adakah benar dana awam rakyat yang sebahagian besarnya milik orang-orang kampung yang bertungkus lumus mengumpul wang untuk mengerjakan ibadah haji yang diamanahkan untuk dijaga sebaik-baiknya telah disalahgunakan untuk menyelamatkan syarikat 1MDB yang berpenyakit dengan hutang RM42 bilion?

5. Apabila Tun Mahathir pun turut berpartisipasi mendesak dan menuntut supaya YAB Perdana Menteri, DS Najib menjelaskan pelbagai isu khususnya berkaitan hutang 1MDB, bererti beliau (dan seluruh rakyat Malaysia) benar-benar mahukan DS Najib berterus-terang.

6. Kalaulah beliau memanfaatkan ruang yang disediakan khas di TV3 baru-baru ini dengan bercakap lebih jujur dan telus, saya percaya bahawa kritikan pedas ke atas beliau dan Kerajaan seperti pada ketika ini tentu telah reda dan tidak akan berpanjangan; dan mungkin juga dapat diselesaikan.

7. Tetapi beliau memilih kononnya untuk menamatkan semua spekulasi itu dengan kenyataan lebih kurang simpul mati begini, "Saya PM. Akhirnya saya yang akan memutuskan semua perkara itu". Kenyataan ini sangat menghampakan seluruh rakyat yang ingin tahu perkara sebenar tentang semua isu itu. Nampak sangat beliau sebagai seorang PM mahu mengelak daripada berkata benar.

8. Kini terdedah pula seakan skandal sulit 1MDB dan Tabung Haji (TH) berkaitan pembelian dua plot tanah. Duit TH adalah kepunyaan umat Islam yang menabung bagi menyempurnakan rukun iman kelima. Sepatutnya dijaga dengan amanah dengan tidak mendedahkannya kepada risiko yang tidak menentu.

9. Isunya ialah tanah yang dibeli oleh TH daripada 1MDB itu berganda mahal harganya daripada harga yang dibeli oleh 1MDB daripada Kerajaan empat tahun lalu. Isunya juga ialah 1MDB itu ialah syarikat milik Kementerian Kewangan yang berhutang keliling pinggang mencecah RM42 bilion. Isunya lagi ialah ada orang-orang besar dalam TH itu juga merupakan orang besar dalam 1MDB yang menimbulkan pertembungan kepentingan.

10. Jadinya, mustahil sangatlah jika mengatakan pembelian tanah itu bukan untuk menyelamatkan 1MDB. Lebih hodoh lagi apabila berlapik dengan alasan ‘pelaburan hartanah’ dan ‘yang menepati selera risiko’. Padahal, sudah terang lagi bersuluh, semua orang sudah nampak bahawa ia adalah pelaburan hutang dan menepati selera DS Najib. Ia bukan ‘strategi pelaburan hartanah’, tetapi strategi melangsaikan lambakan hutang.

11. Sudahnya, bukan pembangkang sahaja yang membantah tindakan TH ini. Pemuda UMNO dan YAB TPM, TS Muhyiddin Yasin pun bersetuju supaya DS Najib dan Kerajaan menjelaskan hal itu dengan sesungguhnya kepada rakyat.

12. Pada tahap ini, jika DS Najib baru mahu menjawab - sekalipun dengan jujur dan telus - saya tidak yakin beliau boleh mendiamkan pihak-pihak yang telah mempertikaikannya bahkan dibimbangi semakin banyak pula hal lain yang terdedah.

13. Seorang Tun M sahaja pun boleh menjatuhkan Tun Abdullah Badawi, apatah lagi kini DS Najib sedang berhadapan dengan bukan sahaja Tun M, Dr. Asri, Prof. Agus, ditambah pula dikelilingi oleh menteri-menteri ber‘CGPA3.85’ seperti Ahmad Maslan, bahkan DS Najib sebenarnya sedang berhadapan dengan protes besar-besaran oleh rakyat.

14. Suruhanjaya Siasatan Di-Raja perlu ditubuhkan segera oleh DS Najib bagi menamatkan spekulasi isu-isu ini. Ia akan kelihatan kebih telus dan lebih bertanggubgjawab.

15. Selanjutnya, satu jalan lagi yang boleh menyebabkan beliau kembali selesa di kerusi yang disandang beliau kini ialah dengan mendapatkan mandat baru; daripada pasukannya dalam kabinet dan daripada rakyat keseluruhannya.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan DUPP
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tarikh : 9 Mei 2015 / 20 Rejab 1436H
__________

Lawati page facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di : Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri

Sila "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

No comments:

Post a Comment