Sunday 27 September 2015

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 4)Ibadah Haji Menggamit Renungan Terhadap Siri-Siri Ujian Allah Terhadap Ibrahim Alaihissalam

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 4)

Ibadah Haji Menggamit Renungan Terhadap Siri-Siri Ujian Allah Terhadap Ibrahim Alaihissalam

1. Ibadah Haji adalah sunnah yang dimulakan oleh Nabi Ibrahim dengan perintah Allah selepas membina kembali Kaabah yang telah runtuh sejak zaman Nuh alaihissalam.

2. Ibadah Haji mengajak para jemaah Haji khususnya dan umat Islam umumnya untuk menghayati sejarah hidup Ibrahim alaihissalam yang dipenuhi dengan ujian dalam bentuk perintah dan pengalaman kehidupan namun ianya dapat disempurnakan dengan baik oleh Ibrahim. Allah berfirman;
وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ
"Dan ingatlah ketika mana Ibrahim diuji oleh Rabbnya dengan beberapa kalimah (perintah) lalu dia menyempurnakannya. Allah berfirman; Sesungguhnya Aku jadikan kamu bagi manusia sebagai pimpinan ikutan"
{Surah al-Baqarah ayat 124}


3. Ulamak memberikan beberapa tafsiran bagi maksud "kalimah". Antaranya menurut Ibnu Abbas ia bermaksud syariat Islam. Kata sebahagian Ulamak ia bermaksud perintah dan larangan. Kata yang lain pula ia merujuk kepada risalah kerasulan. Menurut Imam Qurtubi tafsiran-tafsiran tersebut tidak jauh maksudnya.

4. Ujian Ibrahim alaihissalam bermula dengan kehidupan membesar dalam masyarakat yang syirik kepada Allah dengan menjadikan patung-patung sebagai sembahan.
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً ۖ إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ (74)
"Dan ingatlah tatkala mana Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar; adakah kamu menjadikan patung-patung berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya saya melihat kamu dan kaum kamu dalam kesesatan yang nyata".
{Surah al-An'am ayat 74}


5. Setelah dilantik menjadi Nabi baginda berhadapan dengan raja yang kufur dan zalim sehingga akhirnya baginda dibakar dengan api. Allah menyelamatkan Ibrahim alaihissalam sebagaimana firman-Nya.
قَالُوا حَرِّقُوهُ وَانصُرُوا آلِهَتَكُمْ إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ . قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ  وَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَخْسَرِينَ
"Mereka berkata; bakarlah Ibrahim dan bantulah tuhan-tuhan kamu sekiranya kamu lakukan. Kami berfirman; wahai api, jadilah kamu sejuk dan sejahtera ke atas Ibrahim. Mereka mahu kenakan terhadap Ibrahim satu kejahatan lalu Kami jadikan mereka di kalangan orang yang paling rugi"
{Surah al-Anbiya ayat 68-70}


6. Ibrahim berhijrah meninggalkan bumi kelahiran di Iraq ke bumi Palestin dengan perintah Allah. Kemudian baginda ke bumi Mesir berikutnya kembali menetap di Palestin. Hijrah meninggalkan kampung halaman adalah ujian kejiwaan yang besar.
{وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَى رَبِّي إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ}
"Dan berkata Ibrahim; sesungguhnya saya berhijrah kepada Rabb saya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha bijaksana".
{Surah al-Ankabut ayat 26}


7. Ibrahim alaihissalam diuji dengan isteri cantik bernama Sarah yang cuba diganggu oleh Raja Mesir yang jahat sehingga baginda berhelah dalam bicara untuk menyelamatkan isteri baginda sebagaimana hadis Sahih Bukhari yang panjang menceritakannya. Dengan izin Allah Sarah terselamat daripada gangguan Raja tersebut lalu Sarah dikurniakan Hajar sebagai khadam untuk berkhidmat kepada Sarah.

8. Seterusnya Ibrahim alaihissalam diuji dengan tidak mendapat anak sehingga usia yang sangat tua. Tidakkah kehidupan berkeluarga tanpa anak merupakan satu ujian perasaan? Namun doanya yang dipanjatkan tanpa putus akhirnya dikabulkan oleh Allah. Baginda dikurniakan dua anak, Ismail dan Ishak pada usia tua daripada dua isteri. Allah berfirman menceritakan kesyukuran Ibrahim:
"الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاء"
"Segala pujian kesyukuran adalah milik Allah yang mengurniakan bagiku dalam keadaan tua Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Rabbku benar-benar Maha mendengar doa".
{Surah Ibrahim ayat 39)


Menurut Ibnu Abbas, sebagaimana dinukilkan oleh Imam Qurtubi, Ismail dilahirkan ketika Ibrahim berusia 99 tahun manakala Ishak dilahirkan ketika baginda berusia 112 tahun.

9. Setelah mendapat anak menerusi isteri kedua seterusnya isteri pertama pada usia tua, Ibrahim alaihissalam diuji lagi dengan ujian perpisahan dengan salah seorang anak yang disayangi beserta isteri baginda. Baginda diarahkan untuk membawa anaknya Ismail beserta isterinya Hajar untuk ditinggalkan bersendirian jauh di bumi Mekah yang gersang tanpa tanaman, tanpa sumber air dan tidak berpenghuni ketika itu. Bagaimana mereka mahu hidup tanpa sebarang sumber makanan? Namun keyakinannya ialah ianya adalah perintah Allah. Maka ia dilaksanakan dengan jayanya.
Ibrahim bertawakkal kepada Allah dengan doa ; 
رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ
"Wahai Rabb kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian zuriatku di satu lembah yang tiada tanaman di sisi Rumah-Mu yang diberi kehormatan".
{ Surah Ibrahim ayat 37}


10. Dengan kehendak Allah bumi Mekah berkembang menjadi kampung berkat sumber air zamzam yang dikurniakan oleh Allah kepada Hajar dan Ismail.

11. Apabila anak bernama Ismail yang tinggal berjauhan itu membesar, Ibrahim di arah dengan perintah baru pula iaitu menyembelih anak tersebut. Ujian itu pun berjaya dilalui dengan jaya.
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
"Maka tatkala Ismail menjangkau (usia) boleh berusaha beserta Ibrahim, Ibrahim berkata; wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku bermimpi menyembelih kamu maka lihatlah apa pandanganmu. Ismail berkata; wahai bapa kesayanganku. Buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Kamu akan dapati diriku sekiranya diizinkan Allah tergolong di kalangan orang-orang yang sabar".
{ Surah al-Sooffat ayat 102 }


12. Seterusnya Ibrahim diarah bersama Ismail membina kembali Kaabah di tapak asal yang telah runtuh sekian lama. Perintah itu juga dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Sebaik dibina Ibrahim berdoa kepada Allah dengan beberapa siri doa yang dirakamkan oleh al-Quran.
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ 
"Dan ingatlah ketika Ibrahim meninggikan tapak-tapak binaan Baitullah (Kaabah) beserta Ismail sambil berdoa; Wahai Rabb kami, terimalah daripada kami. Sesungguhnya Kamulah yang Maha mendengar lagi Maha mengetahui."
{Surah al-Baqarah ayat 127}


13. Berikutnya Ibrahim alaihissalam diarahkan pula membuat perisytiharan kepada orang ramai untuk mereka datang mengerjakan ibadah Haji di Mekah.
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27)
"Dan buatlah perisytiharan di khalayak ramai untuk mereka laksanakan ibadah Haji pasti mereka datang kepada kamu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang unta yang kurus, mereka datang dari seluruh pelusuk negeri yang jauh"
{Surah al-Haj ayat 27}

Allah memberi tunjuk ajar kepada Ibrahim segala aturcara ibadah Haji bermula dengan wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bermalam di Mina, tawaf di Kaabah dan saei di Masjidil Haram.

14. Perisytiharan Haji oleh Ibrahim alaihissalam disambut oleh manusia dengan kehendak dan izin Allah. Sehingga kini manusia tidak putus datang menghidupkan Makkah dengan ibadah Haji malah juga untuk mengerjakan umrah.

15. Semuanya memberi pahala yang berpanjangan kepada Ibrahim sebagai nabi yang memulakan sunnah amalan ibadah ini.

16. Benarlah janji Allah untuk Ibrahim setelah kejayaannya melalui pelbagai ujian Allah;
قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ
"Allah berfirman; Sesungguhnya Aku jadikan kamu bagi manusia sebagai pimpinan ikutan" 
{Surah al-Baqarah ayat 124}

Ujian ketaatan, kesabaran dan ibadah Ibrahim menjadi ikutan bagi manusia. Ikutan ini menjadikan Ibrahim memperolehi pahala yabg berpanjangan berasaskan kaedah hadis "sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik maka dia mendapat pahala tersebut dan pahala orang-orang yang mengikutinya". (Hadis Sahih Muslim)

17. Berbahagialah Ibrahim alaihissalam yang berjaya menunaikan segala ujian Allah dengan sempurna. Sejauh mana pula kejayaan kita melalui ujian-ujian kehidupan bagi mendapat redha Allah?
Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 13 Zulhijjah 1436 H / 27 September 2015. Jam 9 pg Makkah al-Mukarramah.

No comments:

Post a Comment