Saturday 31 October 2015

(SIRI 1 TRANSKRIP) Ucapan Perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri Khamis 29 Oktober 2015

(SIRI 1 TRANSKRIP)

Ucapan Perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Khamis 29 Oktober 2015

Watch "Ucapan Perbahasan Bajet 2016 MP Kuala Nerus" on YouTube - https://youtu.be/UzOShJRThdc

MUQADDIMAH

Allah SWT berfirman,

ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ  الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
Surah Al-Baqarah ayat 2-3:

“Kitab itu tiada keraguan lagi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib, menegakkan solat, dan sebahagian apa yang Kami rezekikan, mereka belanjakan.”

Ayat ini berada di awal surah Al-Baqarah, yang turun selepas Nabi SAW berhijrah ke Madinah, dan hijrahnya Nabi ke Madinah adalah satu Hijrah untuk membina sebuah negara, seolah gambarannya adalah ia menjelaskan dasar-dasar bernegara bagi mereka yang beriman kepada Allah.

Asasnya ialah dominasi orang-orang yang bertaqwa bagi sebuah negara, yang orang-orang bertaqwa itu pertamanya dia beriman dengan perkara ghaib, dia menegakkan Solat, yang ketiganya dari sudut harta, rezeki yang Allah taala beri, mereka membelanjakan sebahagiannya.

Ini adalah satu dasar berbelanja dalam Islam.

Hari ini kita bentang, kita bincang tentang bajet.

Bajet ialah perbentangan untuk menjelaskan hasil kerajaan dan juga cara berbelanja kerajaan.

Dan dasar berbelanja dalam Islam seperti yang saya bacakan ayat tadi ialah berbelanja sebahagian rezeki. Dan saya nampak itulah yang gagal untuk diikuti oleh kerajaan sampai hari ini, untuk 19 tahun berturut-turut membentangkan Bajet defisit.

AMBIL MAQASID TINGGALKAN SYARIAT???

Di kala mana kerajaan sedang berusaha untuk memperkenalkan Maqasid Syariah, Indeks Syariah Malaysia yang bukunya diagihkan pada minggu lepas, maka sangat wajar untuk kerajaan juga merujuk kepada cara Islam untuk kita menguruskan Bajet.

Yang saya bimbang nanti, kita hanya memperkenalkan Maqasid Syariah yang bermaksud matlamat-matlamat daripada perlaksanaan Syarak, hanya kita ambil Maqasidnya sahaja, matlamatnya kita ambil tetapi kita tinggalkan Syariat, sedangkan Maqasid tidak akan tercapai melainkan menerusi perlaksanaan Syariat itu sendiri.

DASAR PERBELANJAAN ISLAM

Allah taala menyatakan dalam banyak ayat, antaranya berbelanja,

{ وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْن ذَلِكَ قَوَامًا }
Surah Al-Furqan ayat 67

Sifat orang yang baik ialah,
"bila berbelanja tidak boros dan juga tidak kedekut, tetapi pertengahan antara keduanya.”

HUTANG NEGARA

Kesan daripada berbelanja yang tidak betul ini ialah kita menanggung hutang pada hari ini.

Walaupun saya mendengar ucapan ramai rakan-rakan daripada sebelah kerajaan menjawab ataupun menegaskan bahawa hutang tidak ada masalah, yang penting ialah kita berhutang untuk perkara yang baik dan juga kita berhutang yang juga kita boleh bayar.

Persoalan yang saya nak sebut ialah adakah kita mampu bayar dan kita bayar? Kalau hutang itu kita bayar, tentulah ia makin berkurang, tetapi yang berlaku ialah ia makin bertambah.

Kita boleh melihat laporan yang dibentangkan dan buku yang diedarkan kepada kita, "Penyata Kewangan 2014", menjelaskan bahawa "hutang awam merupakan salah satu sumber yang membantu dalam menjana pembangunan negara, dalam persekitaran defisit fiskal".

Ertinya, hutang telah menjadi sumber pula kepada negara, sebabnya kerana defisit fiskal yang berlaku dan kita lihat peningkatan hutang daripada tahun 2010 RM407 billion, 2011 RM456 billion, 2012 RM501 billion, 2013 RM539 billion, dan 2014 RM582 billion, dan terakhir RM624 billion.

Peningkatan itu berlaku, kalau kita bayar hutang, sepatutnya ia berlaku penurunan, tetapi kita bayar, bayar tidak sama jumlah kita hutang, lebih sedikit, dan kita buat hutang lagi pula.

Cuba kita lihat dalam laporan Penyata Kewangan menyatakan bahawa, "aspek yang sentiasa diberi perhatian seiring dengan peningkatan jumlah hutang adalah PERTAMBAHAN KOS PINJAMAN yang perlu ditanggung oleh kerajaan".

Ini diakui sendiri.

"Kawalan dan pemantauan terhadap perbelanjaan kerana hutang sentiasa dilaksanakan".

Ertinya usaha itu ada, tetapi adakah ianya mencapai matlamat?

Cuba kita lihat perbelanjaan yang diguna yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membayar hutang ini.

Kita lihat sebagai contoh, carta membelanjakan hutang daripada buku yang saya sebutkan tadi juga, 2010 kita belanja kerana hutang sahaja 15 billion, 2011 17 biliion, 2012 19 billion, 2013 20 biliion, 2014 22 billion.

Ini perbelanjaan kerana hutang yang kalau kita dapat kutip cukai GST sampai 30 billion sekalipun, ini yang kita akan bayar, bayar kerana kita buat hutang.

Saya bimbang, hutang ini menjadi satu dasar kita, dasar bernegara, berhutang menjadi dasar, sedangkan konsep Islam ialah hutang itu sesuatu yang mendatang kerana kita perlukan, dan jangan kita terbelenggu dengan hutang.

Saya bacakan satu hadis, doa yang diajar oleh Nabi SAW, antaranya ialah
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ، وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Aku (memohon) melindung daripada hutang yang menguasai kita" ataupun hutang keliling pinggang.

Kalau kita lihat umpamanya sebagai contoh pada tahun 2013, bayaran hutang, kita buat hutang 65 billion kita bayar hanya 42 billion, 2013 hutang 73 billion, kita bayar 38 billion sahaja, ini yang berlaku.

Sebab itulah saya mengharapkan untuk kerajaan, sesuai dengan konsep Maqasid Syariah ini untuk kita kembali membetulkan perkara yang seumpama ini pada masa akan datang.

(YAB) Pekan pernah menyebut, bahawa kerajaan pernah mengharapkan pada tahun 2020 kita akan bentangkan bajet berimbang, tetapi dengan cara perbelanjaan kerajaan ini, saya masih meragui ia akan berjaya 2020 nanti.

PINJAMAN RIBA

Dan isu yang lagi besar, yang perlu kita sebut ialah, hutang negara yang kita buat, sama ada pinjaman dalam negeri ataupun luar negeri, ia adalah pinjaman sebahagian besarnya berasaskan riba. Sedangkan Allah menyatakan;

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ
Surah Al-Baqarah ayat 279

“Sekiranya kamu tidak mahu berhenti daripada riba, maka isytiharlah perang daripada Allah dan juga Rasul-Nya.”

Dan konsep kita ini, menerima konsep riba ini, itu yang berlaku pada 1MDB, yang berhutang cara riba dan terpaksa membayar bunga hingga 2 billion. Sampai bila kita mahu meletakkan rakyat dan negara kita dalam kemurkaan Allah SWT?

Maka saya menyeru atas nama kita hari ini mencadangkan konsep Maqasid Syariah, yang dalam bukunya, dalam muka surat 25, menyebut antara ukuran pematuhan indeks Syariah Malaysia ini adalah berkaitan ekonomi. Ini antaranya. Dan muka surat 34 menyebut antara ekonominya ialah antaranya pegangan harta negara, penjenaan ekonomi dan juga percukaian. Ini saya akan sebut kejap lagi.

Maka itu, harapan saya besar untuk kerajaan segera melihat dasar-dasar ini, dasar yang lebih Islamik, terutamanya dalam urusan kewangan melibatkan harta, melibatkan ekonomi.

AKAN BERSAMBUNG SIRI 2
# 💓 Transkrip ucapan ini diusahakan oleh Ust Izwan - Wartawan Harakah

No comments:

Post a Comment