Saturday 12 December 2015

Berkhalwat Adalah Kemungkaran Yang Wajib Ditangani Oleh Pemerintah - Menolak Gesaan G25 dan Pandangan Dr Asri Zainul Abidin

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Berkhalwat Adalah Kemungkaran Yang Wajib Ditangani Oleh Pemerintah - Menolak Gesaan G25 dan Pandangan Dr Asri Zainul Abidin

1. Berkhalwat atau berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram dan satu kemungkaran serta maksiat besar dalam Islam sebagaimana sabda Nabi saw.

ُ لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Bermaksud: "Janganlah seorang lelaki bersunyi-sunyian dengan seorang perempuan melainkan bersamanya ada mahramnya"

Hadis Sahih Bukhari dan Muslim

2. Oleh kerana tugasan Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar (menyuruh melakukan ma'ruf dan mencegah kemungkaran) menjadi sebahagian kewajipan pihak berkuasa menurut Islam maka mengadakan apa sahaja undang-undang yang boleh dikategorikan dalam kategori Ta'zir untuk mengekang perlakuan tidak bermoral tersebut adalah sebahagian tanggungjawab pihak berkuasa.

3. Gesaan G25 supaya dimansuhkan hukuman khalwat terhadap orang Islam dengan mendakwa kononnya ia melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia adalah tidak releven kerana empat sebab:

i) Perlembagaan tidak memberi hak kebebasan mutlak kepada warganegara untuk melakukan apa sahaja termasuk melanggar undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

ii) Perlembagaan Malaysia memberi hak dan kuasa untuk kerajaan negeri menggubal undang-undang Islam yang dikuatkuasakan kepada orang Islam menerusi Mahkamah Syariah.

iii) Setiap Muslim terikat dengan undang-undang Islam. Tidak ada manusia yang mengaku muslim berhak bebas melakukan dosa dan maksiat tanpa sebarang penguatkuasaan pihak berkuasa. Dengan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia untuk kerajaan negeri menggubal undang-undang maka menjadi hak kerajaan negeri menggubal undang-undang Islam yang dikuatkuasakan menerusi Mahkamah Syariah terhadap orang Islam termasuklah undang-undang khalwat.

iv) Khalwat bukan hanya perlakuan individu yang kesannya negatifnya hanya kepada individu tetapi satu perlakuan tidak bermoral yang akan memberi kesan kepada masyarakat kerana menjurus kepada zina yang merosakkan institusi kekeluargaan dan perkahwinan dan boleh membawa kepada kelahiran bayi luar nikah.

4. Gesaan G25 juga merupakan satu jalur pemikiran liberal yang sedang bergiat cergas di nusantara bagi menghancurkan binaan dan kerangka undang-undang Islam serta moral orang-orang Islam dengan menjadikan hak asasi acuan barat sebagai topeng dan hujah.

5. Pandangan Sahibus Samahah Dr Asri Zainul Abidin yang juga menolak tindakan pihak berkuasa agama mengadakan serbuan dan intipan khalwat juga tidak tepat. Hujah yang digunakan oleh beliau bahawa Islam tidak membenarkan intipan terhadap perlakuan maksiat adalah hujah umum yang perlu diperincikan sebagaimana perincian tokoh-tokoh ulamak silam.

6. Hal ini kerana apabila tokoh-tokoh Ulamak menegaskan haram melakukan intipan maksiat tersembunyi mereka memperincikan pula hal dan keadaan pengecualian yang dibenarkan intipan dibuat oleh pihak berkuasa.

7. Antaranya ialah apabila ia melibatkan maksiat tersembunyi yang boleh membawa kepada tercemarnya maruah dan kehormatan seperti zina dan pembunuhan. Apabila terdapat aduan yang bersifat sangkaan yang kuat, maka pihak berkuasa dibenarkan untuk melakukan intipan dan penyelidikan dalam kes tersebut.

8. Antara dalilnya ialah kes Mughirah bin Syu'bah yang didatangi seorang perempuan bernama Ummu Jamil bin Mihjan yang telah bersuami. Apabila maklumat tersebut sampai ke pengetahuan Abi Bakrah, Sahl bin Ma'bad, Nafi' bin Harith dan Ziyad bin Ubayd mereka lalu melakukan intipan dan menyerbu mereka berdua sebaik wanita tersebut masuk bertemu al-Mughirah. Tindakan intipan dan serbuan mereka tidak dibantah oleh Umar bin al-Khattab selaku Khalifah ketika itu.

9. Antara tokoh Ulamak yang menegaskan keharusan intipan dan serbuan khalwat dengan dalil di atas ini ialah Abu Ya'la dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah dan al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah (2 karya yang mempunyai nama yang sama) di kalangan tokoh Ulamak kurun ke 5 H.

10. Imam Nawawi dalam Syarh Muslim dan Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Jawami' al-'Ulum juga menukilkan pandangan Abu Ya'la tersebut.

11. Ia juga disentuh oleh tokoh ulamak kontemporari iaitu Dr. Mustafa Bugha  dan Muhyiddin Mistu dalam al-Waafi, Dr Na'im Yasin dalam karya al-Jihad wa Mayadiinuh wa Asaalibuh dan Dr Ali al-Qarni dalam tesis Phd beliau bertajuk al-Hisbah fi al-Madi wa al-Hadir.

12. Kesimpulannya ialah undang-undang khalwat adalah bertujuan menjaga maruah dan moral umat Islam daripada terlibat dengan perlakuan keji zina yang diharamkan oleh semua agama dan ia menjadi sebahagian tanggungjawab pemerintah dalam Islam.

13. Intipan dan serbuan khalwat oleh pihak berkuasa setelah mendapat info dan aduan yang dipercayai adalah dibolehkan dan terkecuali daripada larangan mengintip maksiat tersembunyi yang disebut di dalam Hadis Sahih.

# rujuk tulisan lengkap saya dalam isu ini "Intipan Khalwat Menurut al-Quran dan al-Sunnah" terbitan 2007.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Sabtu 12hb Disember 2015 / 30 Safar 1437 H

No comments:

Post a Comment