Sunday 27 December 2015

Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ummah di Tehran; Menggarap Krisis Semasa Dunia Islam

Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ummah di Tehran; Menggarap Krisis Semasa Dunia Islam

Antara ucapan Rasulullah saw di Arafah ketika Haji Wida':

" فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا ، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا ، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا "

"Maka sesungguhnya darah-darah (nyawa), harta benda dan maruah kehormatan (sesama) kamu adalah haram dicerobohi oleh kamu sebagaimana haramnya pencerobohan terhadap kehormatan hari kamu ini (Hari Arafah) di bulan kamu ini (Zulhijjah) di bumi kamu ini".
(Hadis Bukhari dan Muslim)

Ia satu penegasan dan deklarasi kemanusiaan tentang kemuliaan dan kehormatan nyawa, harta benda dan maruah manusia yang mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Namun, hari ini umat Islam khususnya di Timur Tengah sedang berhadapan dengan kemelut dan krisis politik yang menatijahkan pertumpahan darah ratusan ribu umat Islam serta menuntut satu formula penyelesaian.

Antaranya, masa depan Palestin yang masih dijajah oleh Yahudi yang mendapat dokongan kuasa besar barat dan sokongan moral sebahagian pemimpin yang mengaku muslim.

Juga pertumpahan darah di Iraq yang masih belum berakhir sejak Saddam ditumbangkan.

Seterusnya politik Libya yang belum stabil pasca pembunuhan Muammar Ghadaffi.

Pasca kudeta terhadap Dr Morsi oleh al-Sisi menyaksikan Mesir terus bergolak.

Di Syria pula perang saudara dicipta oleh tangan-tangan ghaib lalu diambil kesempatan oleh ISIS tajaan barat yang merosakkan nama Islam dan menatijahkan jutaan pelarian.

Terkini, Yaman pula bergolak disebabkan pemberontakan.

Dalam semua kemelut dan krisis ini, di sebahagian negara, perbezaan antara kelompok dan aliran aqidah Islam dicanang pula oleh sebahagian sebagai antara sebab dan punca yang meluaskan lagi jurang perpaduan ummah menangani krisis.

Inilah krisis politik semasa umat Islam yang menjadi topik perbincangan Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ummah Kali ke 29 yang berlangsung di Tehran bermula hari ini 27hb Dis sehingga 29hb Dis 2015 anjuran kerajaan Republik Islam Iran yang menghimpunkan para ulamak daripada aliran Sunni dan Syiah atas nama kesatuan ummah.

Tuan Guru Presiden PAS dijadualkan berucap esok dengan tajuk ; "Krisis Asia Barat dan Permainan Masyarakat Dunia"

Adakah mungkin satu kesatuan politik umat Islam menjadi formula penyelesaian setelah beberapa dekad mereka hanya disatukan atas nama kesatuan kebajikan dan ekonomi semata-mata?

Atau persoalan lebih utama; adakah kesatuan politik menghampiri model Khilafah Uthmaniyyah, Abbasiyyah dan Umawiyah antara negara umat Islam boleh menjadi kenyataan dan formula penyelesaian?

Apa yang ada dalam fikiran anda sekarang saat persoalan ini dilontarkan?

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Hotel Istiqlal, Tehran, Iran.
27 Dis 2015 / 15 Rabi'ul Awal 1437 H

www.drtakiri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment