Tuesday 5 January 2016

2 KERJA : KERAJAAN LARI DARIPADA ISU SEBENAR

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

2 KERJA : KERAJAAN LARI DARIPADA ISU SEBENAR

1. Saranan agar individu melakukan dua pekerjaan bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat oleh salah seorang Timbalan Menteri agak kurang cermat dan dilihat lari daripada isu sebenar.

2. Cadangan tersebut tidak mengambil kira kesan negatif terhadap kesejahteraan institusi kekeluargaan dan produktiviti kerja seseorang individu. Ini kerana, tumpuan untuk melaksanakan dua perkerjaan pasti akan menuntut lebih masa dan lebih tenaga daripada individu berkenaan justeru juga memberi tekanan psikologi kepada seseorang sehingga boleh menjadi ancaman kepada orang lain.

3. Kerajaan tidak sepatutnya lari daripada dua (2) isu utama yang sedang dihadapi rakyat iaitu PERTAMA, isu pengangguran dan peluang pekerjaan; KEDUA, isu kos sara hidup itu sendiri.

4. Dengan anggaran 6 hingga 7 juta pekerja asing sedia ada sekarang termasuk 1.9 juta pekerja asing yang mendapat permit, cadangan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh tidak lama lagi dan juga sasaran 200,000 pelajar asing menjelang 2020 pasti telah dan akan menyesakkan lagi pasaran kerja di negara ini.

5. Selain itu, kekosongan yang terhad dalam pelbagai industri tidak berupaya menampung jumlah tenaga buruh yang semakin bertambah saban tahun khususnya dalam kalangan graduan universiti. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pengangguran tidak ketara apabila pemegang ijazah bekerja dengan gaji bukan siswazah dengan menjadi boroh biasa yang tidak memerlukan ijazah pun.

6. Pada Mei 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dilaporkan berkata terdapat 161,000 siswazah atau 8.8% belia, berusia antara 20 dan 24 tahun, masih mencari pekerjaan.

7. Kekosongan yang ditawarkan oleh Kerajaan pula tidak banyak menepati bidang pengajian yang telah mereka selesaikan di universiti. Hal ini mewujudkan pengangguran dan pemandulan bidang dan takhassus kepakaran seseorang.

8. Dasar rasionalisasi pekerja juga telah menambah bilangan tenaga buruh yang menganggur.

9. Kesesakan dan persekitaran pasaran kerja seperti ini tentu mencipta satu tekanan kepada kesejahteraan sosial rakyat.

10. Polisi percukaian GST yang berasaskan perbelanjaan, kenaikan tambang pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam serta kadar tol dan harga runcit petrol yang terdedah kepada kenaikan berterusan pula menjadi faktor rakyat semakin terbeban dengan kos sara hidup.

11. Ditambah lagi dengan hutang isi rumah khususnya hutang pendidikan, perumahan dan kenderaan yang menjadi keperluan kepada rakyat menyebabkan kehidupan mereka semakin terhimpit. Pendapatan mereka tidak mampu untuk menampung perbelanjaan keperluan dan pembayaran semula hutang.

12. Solusi jangka masa panjang bagi pengangguran dengan mengurangkan kemasukan pekerja asing, mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan pembangunan keusahawanan peringkat pendidikan menengah dan universiti perlu disegerakan dan dikemaskini.

13. Isu ini memerlukan solusi yang praktikal bukannya cadangan bersifat simplistik atau ambil mudah. Ahli politik, ahli akademik, pakar pendidikan dan pemacu industri yang membekalkan pekerjaan perlu duduk semeja bagi menggarap pelan solusi jangka masa panjang dan pendek.

14. Jika Kerajaan mencadangkan kepada rakyat untuk melakukan dua kerja, bagaimana pula jika rakyat yang menuntut Kerajaan mengganda duakan pendapatan rakyat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka?

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Selasa, 5 Januari 2016 | 24 Rabi’ul Awwal 1437 H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

No comments:

Post a Comment