Tuesday 15 March 2016

PERCERAIAN : INSTITUSI KEKELUARGAAN MAKIN RAPUH

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

8 Mac 2016 | 28 Jamadilawal 1437H

PERCERAIAN : INSTITUSI KEKELUARGAAN MAKIN RAPUH

[ Rujuk : http://pas.org.my/artikel-berita-dupp/7836-penceraian-institusi-kekeluargaan-makin-rapuh ]

1. DUPP melahirkan rasa kebimbangan terhadap peningkatan kes perceraian yang berlaku di negara ini. Ia menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan ini sedang mengalami masalah dan semakin rapuh sedangkan ia adalah institusi terpenting bagi membangunkan modal insan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.

2. Pada 4 Mac lalu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan terdapat 92,678 pasangan mendaftaran perceraian bagi tempoh 2012 hingga 2014 dan ia menunjukkan trend peningkatan iaitu pada 2012 sebanyak 29,253 pasangan, 2013 (29,583) dan 2014 (33,842) yang mendaftarkan perceraian.

3. Sebelum ini juga Jabatan Mahkamah Malaysia mengeluarkan statistik bahawa lebih daripada 274,000 pasangan di seluruh negara bercerai dalam tempoh enam tahun. Satatistik yang lain pula menunjukkan bahawa 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu.

4. Berdasarkan angka-angka ini, dianggarkan secara puratanya terdapat 5,567 pasangan bercerai pada setiap bulan atau 186 pasangan pada setiap hari.

5. Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati sikap curang dan tiada persefahaman antara satu sama lain adalah merupakan punca utama perceraian. Manakala Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (Perak) pula meletakkan isu kewangan sebagai punca utamanya.

6. DUPP juga berpandangan bahawa bebanan kerja yang dihadapi oleh kedua-dua pasangan bagi mendepani peningkatan kos sara hidup pada hari ini menjadi salah satu faktor yang meningkatkan tekanan mental dan perasaan disamping kesempitan masa untuk mengisi kejiwaan masing-masing justeru mengakibatkan nilai akhlak, sifat sabar dan toleransi serta hormat-menghormati antara pasangan semakin terhakis sehingga membawa kepada perceraian.

7. Oleh itu, sewajarnya institusi kekeluargaan ini dipulihkan semula termasuk dengan menyediakan serta membangunkan ruang dan suasana yang kondusif kepada setiap pasangan khususnya kepada golongan isteri agar dapat menjalankan fungsinya yang sebenar di rumah sebagai isteri dan ibu.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

No comments:

Post a Comment