Thursday 26 May 2016

SEJARAH TERCIPTA; USUL PERSENDIRIAN MEMINDA AKTA 355 DIBENTANGKAN DI PARLIMEN OLEH PRESIDEN PAS

SEJARAH TERCIPTA; USUL PERSENDIRIAN MEMINDA AKTA 355 DIBENTANGKAN DI PARLIMEN OLEH PRESIDEN PAS

Oleh: Ahli Parlimen Kuala Nerus

ALHAMDULILLAH. Pada hari ini, Khamis 26 Mei 2016, Usul Persendirian oleh YB Marang, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat setelah beberapa kali disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul di Dewan Rakyat sebelum ini. Perbahasan bagi Usul Persendirian ini pula akan dijalankan pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Namun, pada peringkat awal usaha “pembentangan usul”, ia dibantah oleh beberapa ahli parlimen DAP dan ditimbulkan persoalan oleh PAN. Ada yang beralasan ianya sebagai perkara sensitif yang memerlukan rundingan dengan rakyat. PAS menegaskan bahawa nilaian sensitif atau tidak, perlu dilakukan dalam sesi “Perbahasan Usul’ nanti dan bukan pada peringkat “Pembentangan Usul”.

Apabila alasan mereka ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana tidak mengikut peraturan mesyuarat, mereka meminta pula untuk diadakan "Undi Belah Bagi" untuk menentukan sama ada Usul Persendirian itu boleh diusulkan atau tidak, sedangkan "Undi Belah Bagi" tiada dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi peringkat pembentangan usul.

Cubaan beberapa ahli Parlimen DAP ini menimbulkan persoalan terhadap sikap mereka terhadap usaha-usaha untuk memperkasakan perundangan Islam di Malaysia khusus untuk kebaikan orang Islam selaras dengan peruntukan perlembagaan “Islam Agama Persekutuan”.

Usul Persendirian ini adalah bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dengan menggantikan seksyen 2 dengan seksyen berikut:

Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah

2.       Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan".

dan memasukkan selepas seksyen 2 seksyen yang berikut:

"HUKUMAN
2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah yang berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati."

Akta 355 merupakan Akta bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah Syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan, dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.

Usul Persendirian tersebut adalah bertujuan memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia agar lebih tinggi kedudukannya berbanding sekarang.

Ia juga bertujuan memperkasakan peruntukan undang-undang jenayah Islam dengan meningkatkan kuasa menjatuhkan hukuman bagi Mahkamah Syariah. Jika sebelumnya hukuman terhadap pesalah Syariah terikat dengan had maksima 3 tahun penjara, denda rm5000 dan 6 kali sebatan, maka dengan Usul Persendirian ini had hukuman boleh dipertingkatkan untuk selaras dengan sebahagian undang-undang jenayah Islam.

Pindaan undang-undang ini untuk perkara yang melibatkan orang Islam. Ia tidak wajar menimbulkan sebarang sensitiviti bagi orang bukan Islam. Ruang untuk perbahasan terbuka kepada ahli-ahli Parlimen bukan Islam nanti jika ada yang belum memahaminya.

PAS mengemukakan Usul ini di Dewan Rakyat sebagai satu tanggungjawab dakwah dan kewajipan memperkasakan Islam dengan  memanfaatkan kerangka demokrasi negara. Ahli-ahli Parlimen di kalangan muslim dan bukan muslim boleh menentukan sikap mereka nanti sama ada menyokong atau membangkang.

Selamat berbahas!!! Sekian.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 26 Mei 2016



Top of Form

No comments:

Post a Comment