Monday 15 August 2016

*Fitnah Jahat SARAWAK REPORT Adalah Racun Dunia Pemberitaan*

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

*Fitnah Jahat SARAWAK REPORT Adalah Racun Dunia Pemberitaan*

1. Dewan Ulamak PAS Pusat melihat dengan penuh bimbang dunia pemberitaan hari ini yang dipenuhi dengan *cerita rekaan dan palsu dengan tujuan mencipta kebencian dan permusuhan* terhadap individu atau organisasi. Ia lambat laun akan menghancurkan asas-asas bermasyarakat dan keharmonian bernegara serta melahirkan sebuah masyarakat yang rosak akhlak dan jahat perangai.

2. Ia ternyata jelas menerusi tindakan sebuah portal Sarawak Report yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai berita dan cerita pendedahan sensasi politik telah bertindak mereka-reka *cerita fitnah dan palsu tentang pimpinan Parti Islam Semalaysia PAS dengan niat jahat mencipta persepsi buruk dan mewujudkan permusuhan antara rakyat dan PAS.*

3. Sangat jelas ada perancangan oleh pihak tertentu berkepentingan politik untuk merosakkan reputasi dan imej baik PAS selama ini.

*Fitnah Jahat Terhadap Keluarga Rasulullah saw*

4. Namun, ianya bukan perkara yang pelik kerana pernah berlaku FITNAH JAHAT disasarkan terhadap baginda saw apabila seorang lelaki MUNAFIK telah menyebarkan cerita rekaan dan fitnah terhadap Aisyah radiyallahu anha, isteri Nabi saw dengan tujuan mencipta persepsi jahat terhadap keluarga baginda saw lalu disambut oleh beberapa orang Islam lain. Ia berlegar beberapa bulan lamanya sehingga Allah menurunkan ayat dalam surah an-Nur MEMBERSIHKAN nama Aisyah dan menegaskan hukuman jenayah dirotan sebanyak 80 sebatan terhadap mereka yang membuat tuduhan zina tanpa bukti.

5. Prinsip keadilan Islam yang telah diterima oleh dunia perundangan dan kehakiman ialah "setiap orang bebas daripada sebarang tuduhan dan tohmahan melainkan dibuktikan sebaliknya" sesuai dengan kaedah Fiqh:
الأصل براءة ذمته

Sebarang tuduhan tidak patut disebarkan atau dipromo sehingga membentuk persepsi jahat dan sehingga yang tidak bersalah telah dihukum bersalah oleh media disebabkan pemberitaan tuduhan.

*Dunia Pemberitaan Mesti Berpaksikan Kebenaran Bukan Persepsi*

6. Islam telah menggariskan kaedah pemberitaan dan penceritaan yang jelas untuk menjadi panduan masyarakat antaranya;

I) Berita hendaklah bersumberkan seorang *yang _ADIL_ tidak melakukan dosa-dosa besar*.

II) Berita yang dibawa oleh seorang yang *_FASIK_ (seorang yang sentiasa melakukan dosa kecil tanpa taubat dan melakukan dosa besar)* hendaklah diusul periksa dan disemak dengan bukti dan kenyataan.

Allah berfirman

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

_"Wahai orang-orang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang FASIK (yang jahat) dengan satu berita maka hendaklah kamu mendapatkan bukti dan keterangan bimbang kamu menimpakan satu kaum dengan satu kejahilan maka jadilah kamu atas apa yang kamu lakukan itu orang-orang yang menyesal"_
(Surah al-Hujuraat ayat 6)

III) Sumber berita pembohong dan palsu meskipun sekali mesti ditolak pemberitaannya untuk kali yang seterusnya kerana kebarangkalian dia menyelitkan berita palsu dicelah berita yg benar akan terus berlaku.

Ia sebagaimana peringatan Allah tentang golongan yang mencampur adukkan amalan yang baik dengan amalan yang jahat;

وَآخَرُونَ اعْتَرَفُوا بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا عَمَلًا صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا
_"Dan golongan-golongan lain (di kalangan MUNAFIK) memperakui dosa-dosa mereka. Mereka mencampurkan antara amalan solih dan amalan jahat...."_
(surah Taubah ayat 102)

*Didik Masyarakat Etika Menyebarkan Berita*

7. Masyarakat juga perlu didik untuk tidak bermudah dalam menyebarkan berita yang diterima.

Nabi saw bersabda

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

_"Cukuplah seseorang itu berbohong dengan perlakuan bercerita segala apa yang didengar"_. (Hadis Sahih Muslim)

8. Hadis ini menegaskan kaedah penerimaan dan penyebaran berita. Tidak semua berita yang didengar adalah benar dan tepat. Sikap menyebarkan segala jenis maklumat yang diterima termasuk khabar angin dan persepsi serta tuduhan adalah petanda seseorang itu adalah pembohong kerana kebarangkalian terselit berita bohong dalam penyebaran.

9. Keghairahan masyarakat berkongsi dan menyebarkan apa sahaja berita yang diterima menerusi aplikasi media sosial hari ini diambil kesempatan oleh pihak berkepentingan berhati Iblis untuk menyebarkan berita bohong dan berbentuk tuduhan bagi mencipta persepsi buruk terhadap seseorang atau organisasi.

10. Jika hari ini masyarakat bermudah menyebarkan apa sahaja berita ia adalah petunjuk bahawa masyarakat telah mula dididik menjadi masyarakat pembohong.

*Persaingan Politik Yang Sihat*

11. Dunia demokrasi membenarkan persaingan politik secara sihat untuk merebut kuasa. Persaingan ini tidak mewajarkan cerita rekaan dan fitnah demi untuk memenangi persaingan. Persaingan politik tidak sepatutnya meruntuhkan nilai moral dan akhlak bermasyarakat.

*Jangan Membina Kebencian Menerusi Cerita Rekaan*

12. *Matlamat tidak boleh menghalalkan cara*. Kebencian kepada mana-mana individu dan parti politik tidak menjadi lesen untuk mereka-reka cerita palsu dan bohong terhadap mereka.

*13. Dewan Ulamak PAS Pusat menyarankan tindakan segera oleh PAS Pusat untuk menangani FITNAH JAHAT oleh Sarawak Report sama ada dengan laporan polis atau tindakan saman di mahkamah atau lain-lainnya.*

Sekian

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
9hb Ogos 2016

No comments:

Post a Comment