Wednesday 31 August 2016

MENGISI KEMERDEKAAN DENGAN MEMPERKASAKAN ISLAM

KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
Kenyataan Sempena Hari Kebangsaan

MENGISI KEMERDEKAAN DENGAN MEMPERKASAKAN ISLAM

1.    Kemerdekaan menurut Kamus Dewan bermaksud bebas daripada penjajahan. Jika ia dimaksudkan sebagai bebas daripada penjajahan fizikal maka ia telah dinikmati oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu sejak 31 ogos 1957. Namun, jika ia diertikan sebagai bebas daripada penjajahan pemikiran dan undang-undang maka ia perlu diperkasakan sebagai satu agenda mengisi kemerdekaan.

2.    Antara pemikiran tinggalan penjajah ialah memisahkan Islam daripada sebahagian undang-undangnya yang mencakupi segala aspek kehidupan individu masyarakat dan negara.

3.    Islam telah diberi takrifan yang sempit iaitu hanya merujuk kepada persoalan ibadah dan munakahat. Manakala undang-undang muamalat, jinayat dan pentadbiran tanah serta cukai dianggap urusan keduniaan yang berada di bawah pentadbiran Inggeris.

Sejarah Perundangan Islam Sebelum Penjajahan
1.    Kesultanan Islam Melaka sebelum dikuasai Portugis pada tahun 1511 dan 9 Negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan Inggeris dalam pentadbiran dan pemerintahan bermula 1874 adalah negeri-negeri Islam yang menjadikan Islam sebagai rujukan pentadbiran dan pemerintahan.

2.    Di Melaka, Undang-undang Qanun Melaka yang merujuk kepada undang-undang Islam berasaskan Mazhab Syafie telah digubal bermula zaman Sultan Muhammad Syah (1422-1444 M) dan dilengkapkan pada zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 – 1450 M). Ia meliputi bidang yang luas termasuk acara keterangan, jenayah, mu’amalat seperti jua-beli, bangkrap dan pinjam meminjam, keluarga dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Selepas kejatuhan Melaka, ia dipraktikkan pula untuk menjadi rujukan Kerajaan Johor yang bangkit menggantikan kerajaan Melaka.

3.    Di Perak, di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Shah (1577-1584) dimulakan pengenalan undang-undang 99 Perak yang secara asasnya merujuk kepada undang-undang Islam.

4.    Pahang memperkenalkan Hukum Kanun Pahang sebagai rujukan pemerintahan Sultan Pahang ke 12, Sultan Abdul Ghafur Muhayiddin Syah (1592-1614). Ia mengandungi undang-undang jenayah seperti membunuh, mencuri, merompak, menyamun dan menceroboh, undang-undang muamalat seperti jual-beli dan sewa menyewa di samping undang-undang keluarga dan perkahwinan

5.    Kedah memperkenalkan undang-undang Tembera Dato’ Seri Paduka Tuan yang berlandaskan Syariah dengan perintah Sultan Dhiauddin Mukarram Shah 1 (1661-1668) dan Undang-Undang Pelabuhan Kedah 1311 H/1893 M.

6.    Majalah Ahkam Johor yang diambil daripada Majalah al-Ahkam al-‘Adliyyah yang digunakan oleh kerajaan Islam ‘Uthmaniyyah telah diisytiharkan terpakai pada tahun 1913 oleh kerajaan Johor. Ianya mengandungi hukum syariah Islam, sebahagiannya berkaitan dengan muamalah berkaitan dengan jual beli, sewa, kafalah, hiwalah, al-rahn, amanah, hibah, sharikah, wakalah dan sebahagian kecil berkaitan institusi kehakiman.

7.    Terengganu menggubal Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dinamakan Itqaanul Muluk bi Ta’dilis Suluk pada 1329H bersamaan 1911M. Fasal yang kelima puluh satu (51) undang-undang berkenaan memperuntukkan mengenai agama negeri dan agama lain dengan menyebut:
Sesungguhnya telah disifatkan dan disebut dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini Kerajaan Islamiah Melayuwiah ialah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadikan atau disebut agama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.

BAGAIMANA PENJAHAN DITERJEMAHKAN?

1.    Penjajahan Ingeris diterjemahkan menerusi pelbagai undang-undang Inggeris yang diperkenalkan bagi menggantikan undang-undang Islam. Diantara undang-undang yang diperkenalkan ialah Kanun Jenayah(Penal Code), Enakmen Keterangan(Evidence Enactment), Enakmen Kontrak(Contract Enactment), Kanun Acara Sivil(Civil Prosedure Code), Kanun Acara Jenayah(Criminal Prosedur Code) dan Enakmen Tanah (Land Enactment). Melalui penggunaan perundangan ini, undang-undang Islam yang berkaitan dengan bidang-bidang ini telah diketepikan pemakaiannya. 

2.    Hakim-hakim Inggeris ditugaskan sebagai hakim di Tanah Melayu yang membuat penghakiman kes berdasarkan undang-undang Inggeris bagi membentuk rujukan bagi penghakiman terkemudian.

3.    Undang-undang Inggeris menjadi rujukan utama apabila Inggeris menggubal Enakmen Undang-undang Sivil 1937, 1951 dan Ordinan Undang-undang Sivil 1956 yang menetapkan bahawa mahkamah di Tanah Melayu perlu menerima pakai peraturan ekuiti sebagaimana yang digunapakai di England dan juga Common Law di England. Dalam hal ini, seseorang hakim akan merujuk kepada Common Law di England dan peraturan ekuiti bersama statut umum yang berkuatkuasa di England pada 1 Disember 1951 untuk negeri Sabah dan pada 12 Disember 1949 di Sarawak. Penguatkuasaan itu menyebabkan segala kes sivil adalah tertakluk kepada prinsip undang-undang Inggeris.

4.    Malah Inggeris telah mula campur tangan dalam urusan undang-undang perkahwinan orang Islam dengan memperkenalkan pada tahun 1880 Muhammedan Marriage Ordinance bagi menetapkan sejauh mana Undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf oleh mahkamah

5.    Ordinan ini menyaksikan cita-cita dan usaha British berjaya untuk memisahkan antara urusan sivil dan urusan keagamaan yang telah dirancang semenjak kedatangannya ke Tanah Melayu.

TANGGUNGJAWAB RAKYAT MERDEKA

1.    Setelah 59 tahun merdeka, rakyat mempunyai tanggungjawab memperkasakan kembali hak Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

2.    Peruntukan yang kabur dalam menjelaskan hak sebenar Islam perlu diberikan penjelasan seperti Perkara 3 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa : “Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

3.    Tafsiran para hakim terhadap peruntukan tersebut menzalimi hak Islam apabila ia hanya ditafsirkan merujuk kepada Islam dengan maknanya yang sempit yang tidak merangkumi perundangan jenayah dan muamalat Islam.

KEPERLUAN MEMINDA AKTA 355 YANG MENZALIMI ISLAM

1.    Pada masa ini, bidang kuasa jenayah terikat dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984, yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebat tidak lebih enam sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

2.    Kuasa ini tidak selaras dengan Islam dan menzalimi Mahkamah Syariah. Malah bidang kuasa ini masih rendah atau sempit jika dibandingkan dengan bidang kuasa Mahkamah Majistret Kelas Pertama.

3.    Akta Mahkamah Rendah 1948 memberi bidangkuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama menjatuhkan hukuman sehingga sepuluh tahun penjara atau rotan 12 kali atau gabungan kedua-dua.

4.    Bagi membolehkan Mahkamah Syariah diperkasakan dengan diberikan haknya untuk berhukum menurut Syariat Islam maka Akta tersebut perlulah dipinda.

5.    Pada bulan mei 2016 di Dewan Rakyat, PAS menerusi YB Ahli Parlimen Marang telah mengambil inisiatif mengemukakan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi meminda Akta 355 dan sekaligus memperkasakan Mahkamah Syariah.

6.    Pindaan adalah bertujuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menghukum berdasarkan hukum Syariah dan tidak lagi terikat sebagaimana sekarang. Ia dijangka dibahas untuk diundi dan diluluskan dalam sidang Dewan rakyat terdekat nanti.

7.    Pengisian erti merdeka menuntut seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam memberi sokongan penuh terhadap usaha pindaan ini bagi memberikan hak yang sebenar kepada Islam tanpa menjejaskan hak-hak rakyat bukan Islam.

8.    Ahli-ahli Parlimen Islam khususnya perlu didesak oleh rakyat di kawasan parlimen mereka untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi demi memperkasakan Islam dan memperkasakan Mahkamah Syariah.

Sekian

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Rabu 31hb Ogos 2016


No comments:

Post a Comment