Saturday 10 December 2016

TUMPUAN TERHADAP KONSEP “HALALAN TAYYIBAN” DALAM DASAR AGROMAKANAN NEGARA*

*_Kenyataan Media_*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

*TUMPUAN TERHADAP KONSEP “HALALAN TAYYIBAN” DALAM DASAR AGROMAKANAN NEGARA*

1. Sektor pertanian di Malaysia perlu diberi nafas baharu bagi memastikannya terus segar menyokong pembangunan ekonomi negara disamping memastikan kelestarian dalam menghadapi situasi ekonomi global yang tidak menentu. Pelbagai dasar pertanian telah dilaksanakan dalam tempoh dua dekad ini namun penumpuan kerajaan mutakhir ini terhadap sektor pertanian semakin terhakis.

2. Tiga dasar telah dilaksanakan berkaitan dengan sektor pertanian di Malaysia bermula dengan Dasar Pertanian Negara Pertama (DPN1)(1984-1991) yang memberikan tumpuan terhadap komoditi eksport, mengurangkan kemiskinan luar bandar disamping penggunaan sumber yang optimum. Dasar Pertanian Negara Kedua (DPN2)(1992-1997) pula menumpukan kepada aspek peningkatan daya saing dan produktiviti dalam sektor pertanian manakala Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3)(1998-2010) melonjak aktiviti sektor pertanian di peringkat antarabangsa. Tambahan pula, Dasar Jaminan Makanan Negara (2008-2010) telah dirangka bagi menyerap tempias daripada krisis makanan yang melanda dunia pada 2007-2008.

3. Kini, Malaysia telah meniti Dasar Agromakanan Negara (DAN) (2011-2020) yang sudah melepasi separuh daripada tempoh tersebut bermatlamat bagi memberikan tumpuan khusus terhadap pembangunan komoditi makanan dengan jaminan bekalan makanan dan menghasilkan aktiviti pemprosesan dan pendapatan eksport pertanian berskala tinggi.

4. Antara aspek penting yang terkandung di dalam DAN adalah mengenai pembangunan konsep “Halalan Tayyiban” dengan pengaplikasian ‘Halal Accessories and Food Assurance System’ (HAFAS) bagi memastikan aspek penghasilan bahan makanan bukan sahaja halal malah mencapai kualiti bersih dan sihat sepertimana yang telah disebutkan di dalam Al-Quran. Ini juga sesuai dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Dunia.

5. HAFAS adalah suatu sistem yang tidak sahaja melakukan penilaian pada peringkat akhir sesuatu produk semata-mata malah turut menilai keseluruhan aspek dalam pengeluaran sesuatu produk makanan dan aksesori bahan makanan sebagai contoh  aktiviti penanaman melibatkan racun dan antibiotik yang berlebihan, penggunaan additif makanan yang mengurangkan aspek “sihat” dalam kandungan makanan. Perkara ini bertepatan dengan konsep “Halalan Tayyiban” iaitu konsep yang bukan sahaja menilai sesuatu makanan itu halal dari aspek syara’ malah ia juga perlu “bersih” dan “sihat” dalam keseluruhan aspek pengeluaran dan penghasilan sesuatu bahan makanan.

6. Namun, persoalan yang timbul adalah bagaimana implementasi sistem HAFAS dalam pengeluaran produk makanan ketika ini setelah DAN telah mencapai tempoh 6 tahun perlaksanaan? Manakala sejauhmana pula keberkesanan sistem tersebut dalam memastikan kualiti “Halalan Tayyiban” dapat dipertingkatkan ke suatu tahap yang lebih tinggi?

7. Aspek penjagaan makanan yang sihat dan halal adalah prinsip yang begitu dititikberatkan dalam Islam. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran;

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari pada yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu” (Surah Al-BAqarah : 168)

8. Maka, amat wajar jika aspek pemakanan yang sihat dan halal ini diberikan penekanan oleh kerajaan. Ia adalah tanggungjawab yang besar bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan kehidupan rakyat lebih terjamin.

Sekian.

_“Inilah Penyelesaian Kita”_

9hb Disember 2016
_(genap usia 43 tahun masehi pada hari ini)_
www.drtakiri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment