Sunday 29 January 2017

Memerintah Negara Dengan Dasar Islam

_Lajnah Penerangan_
_Dewan Ulamak PAS Pusat_

*Memerintah Negara Dengan Dasar dan Prinsip Islam*

Pelaksanaan Islam di sebuah negara atau negeri tidak boleh bersifat tempelan. Menaikkan elaun guru Quran, memberi tanah untuk pembinaan Mahkamah Syariah,  membina masjid, menyediakan peruntukan untuk agama Islam itu semua bukannya ukuran utama keislaman sesebuah kerajaan.

Keislaman sesebuah kerajaan tergambar dengan Islam dijadikan dasar dan prinsip dalam semua aspek pengurusan dan pentadbiran bagi kementerian dan jabatan.

Sesebuah kerajaan perlu menerima bahawa al-Quran dan al-Sunnah mesti menjadi rujukan.

Sebuah kerajaan Islam mesti diperintah oleh seorang muslim yang adil yang tidak fasik melakukan dosa-dosa besar. Seorang yang fasik melakukan maksiat berterusan tanpa taubat mana mungkin mampu menegakkan sebuah keadilan.

Tidak boleh Ketua Negara, Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menterinya seorang bukan Islam. Itu syarat utama sebuah kerajaan Islam. Kekuasaan Islam tidak akan tertegak menerusi seorang Ketua Menteri bukan Islam kerana ketiadaan akidah Islam tidak akan menjamin pelaksanaan Syariat Islam.

Islam mesti diterima pada undang-undang ibadahnya, undang-undang kekeluargaannya, undang-undang kontrak dan transaksi kewangan, undang-undang jenayah, undang-undang antarabangsa, kehakiman dan politik pemerintahan.

Riba tidak boleh menjadi paksi ekonomi dan kewangan kerana ia adalah ibu kerosakan.

Jangan terpedaya dengan momokan untuk adil seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz jika akidahnya tidak seperti Umar bin Abdul Aziz sementelah pula akhlaknya kerana keadilan itu tidak akan berlaku dan terlaksana tanpa akidah dan akhlak Islam.

Allah memperingatkan:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ 
Surah al-Baqarah ayat 120.

Sekian

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahad 29hb Januari 2017

https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment