Thursday 22 March 2018

Doa Baik dan Doa Keburukan; Doa Senjata Mukmin

*Doa Baik dan Doa Keburukan; Doa Senjata Mukmin*

Oleh :
*Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

1.Mendoakan kebaikan dan mendoakan keburukan kedua-duanya adalah sunnah berdoa, ada petunjuknya dalam hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

2.Berdoa agar musuh mendapat hidayah adalah dituntut seperti mana doa Nabi s.a.w. agar orang-orang Thaqif mendapat hidayah tatkala mereka menyakiti Nabi s.a.w..

3.Berdoa agar musuh yang jahat dan golongan yang zalim mendapat pembalasan Tuhan juga dibolehkan malah dituntut apabila kezaliman itu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya.

   Doa keburukan terhadap musuh yang jahat dan golongan yang zalim akan menggerunkan musuh dan menakutkan golongan yang zalim.

   Asasnya adalah kerana doa adalah senjata mukmin. Nabi s.a.w. bersabda :

الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

   "Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi"  (Hadis Riwayat Hakim)

4.Dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. berdoa ke atas Quraisy yang mengganggu dan menyakiti baginda ketika solat di Masjid Haram dengan _*"Ya Allah binasakanlah Quraisy"*_ sebanyak tiga kali. *Orang-orang Quraisy yang sedang ketawa gembira melihat Nabi s.a.w. diperlakukan demikian segera terdiam kerana takut dengan doa Nabi s.a.w..*

   Kemudian Nabi s.a.w. menyambung lagi doa baginda khusus ke atas tujuh orang pemuka Quraisy yang menganggu baginda agar dibinasakan oleh Allah. *Kata sahabat Nabi s.a.w., Ibnu Mas'ud _radiyallahu anhu_, aku melihat mereka antara yang mati terbunuh di medan Badar.*

5.Nabi s.a.w. juga mendoakan kehancuran tentera bersekutu pakatan Ahzab dalam peperangan Ahzab dan mendoakan kehancuran kerajaan Kisra Parsi.

6.Dalam Hadis Muslim, seorang sahabat Nabi s.a.w. yang terkenal bernama Sa'id bin Zaid _radiyallahu anhu_ yang juga merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat yang dijamin syurga, *mendoakan keburukan terhadap Arwa binti Uwais yang membuat tuduhan palsu terhadap beliau kononnya merampas sebahagian tanahnya.* Beliau lalu berdoa, _*"Ya Allah sekiranya dia berbohong maka butakanlah matanya dan bunuh dirinya di tanahnya sendiri"*_. Doa beliau dimakbulkan Allah lalu Arwa menjadi buta kemudiannya dan terbunuh di tanahnya sendiri akibat terjatuh ke dalam lubang.

7.Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Aini dalam Syarah Sahih Bukhari, *Nabi s.a.w. mendoakan kebaikan untuk musuh yang kufur apabila merasa aman daripada pengkhianatan mereka dan mengharapkan hidayah untuk mereka*. Nabi pula *mendoakan kehancuran musuh apabila mereka semakin kuat, gangguan dan ancaman mereka juga semakin kuat dan umat Islam tidak selamat daripada kejahatan mereka.*

8.*Bagi golongan yang dizalimi, senjata mereka berhadapan dengan orang zalim ialah doa.*

   Nabi s.a.w. bersabda dalam Hadis Bukhari dan Muslim :

اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

   _"Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan Allah sebarang dinding"._

   Dalam satu riwayat Ahmad menyebut, _"meskipun doa daripada seorang yang kufur (yang dizalimi)"._

9.Antara *dalil boleh berdoa keburukan terhadap orang yang zalim* ialah firman Allah dalam al- Nisa ayat 148 :

لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

   _"Allah tidak suka berterangan menyebut kejahatan melainkan daripada orang yang dizalimi..."._

   Menurut Ibnu Kathir, berkata Ibnu Abbas, maksud ayat ialah Allah tidak suka seseorang mendoakan keburukan atas seseorang melainkan dia dizalimi kerana Allah memberi kelonggaran untuk mendoakan keburukan ke atas orang yang menzaliminya.

   Berkata al-Sa'di, harus bagi orang yang dizalimi mendoakan keburukan terhadap orang yang menzaliminya dan mengadu perihalnya dan menyebut secara terang-terangan kejahatannya tanpa menambah pembohongan atau berlebih-lebihan mengatasi kadar kezaliman ke atas dirinya.

10.*Hanya golongan yang zalim takut kepada doa orang yang soleh dan doa orang yang dizalimi*. Bagi mereka yang baik, tidak melakukan kezaliman kepada manusia, mereka tidak bimbang terhadap doa keburukan oleh orang lain kerana yang menerima dan memakbulkan doa HANYALAH Allah.

Sekian.

Rabu, 22hb Mac 2018

Tuesday 20 March 2018

20 TAWARAN AWAL GAGASAN MEMBERIKAN KESEJAHTERAAN KEPADA RAKYAT

*20 TAWARAN AWAL GAGASAN MEMBERIKAN KESEJAHTERAAN KEPADA RAKYAT*

oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

*Mukaddimah*

20 tawaran awal Gagasan Sejahtera (GAGASAN) untuk PRU ke 14 sebagaimana temanya "Malaysia Sejahtera" benar-benar bermatlamat memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai peringkat khususnya golongan rakyat marhaen.

Ia merangkumi 7 segmen utama iaitu *agama, politik dan pentadbiran, ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan keselamatan*. Ia merangkumi keperluan asas kehidupan iaitu pendapatan, makan minum, pemilikan kediaman dan kenderaan, keperluan asas pendidikan, keselamatan dan kesihatan.

*Tawaran Memperkasakan ISLAM*

1. Dari sudut kepentingan Islam, GAGASAN memberikan komitmen untuk *memperkukuhkan Islam dalam perlembagaan selaras dengan kefahaman Islam sebagai ad-Din* yang merangkumi pelbagai aspek hidup. Justeru, peruntukan "Islam Agama Persekutuan" sewajarnya ditakrifkan dengan maksud Islam sebagai ad-Din. Dengan itu Islam akan menjadi tonggak dan rujukan dalam penggubalan dasar, polisi dan undang-undang negara dalam aspek bernegara.

*Tawaran Tadbir Urus RABBANI*

2. Dalam aspek Tadbir Urus, GAGASAN menawarkan *Tadbir Urus Rabbani (Tadbir Urus Ketuhanan) yang meletakkan aspek agama iaitu "ubudiyah" atau perhambaan diri ahli politik dan pentadbiran kepada Tuhan sebagai asas pemangkin dan motivasi* bagi melahirkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan kecekapan.

Ia adalah aplikasi model pentadbiran kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS berasaskan prinsip *UMI iaitu Ubudiyyah (pengabdian diri kepada Tuhan), Mas'uliyyah (kebertanggungjawaban kepada Tuhan) dan Itqan (kecekapan)* sehingga diiktiraf oleh SPRM sebagai kerajaan yang bebas rasuah dan diberikan penarafan markah 99 peratus Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 kepada Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Jabatan Audit Negara.

*Tawaran Ekonomi dan Kewangan*

3. Dalam memastikan kualiti hidup dapat dikecapi, pendapatan rakyat mesti diselamatkan daripada percukaian yang menindas golongan miskin dan menyebabkan berlakunya inflasi melampau seperti GST. Justeru, *GST mesti dihapuskan*. Sebagai alternatifnya, akan diperkenalkan *cukai yang adil terhadap lebihan pemilikan harta golongan kaya* seperti cukai ke atas simpanan korporat dan cukai pegangan saham di Bursa Malaysia bagi menambah pendapatan negara.

4. Ke arah peningkatan ekonomi mikro khususnya bagi menambah nilai pendapatan isi rumah, tawaran *bantuan sekali (one-off) sebanyak RM 2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah* bakal memberi kesan besar pada rakyat. Ia sekaligus suatu usaha ke arah memantapkan institusi kekeluargaan apabila si ibu mampu meraih pendapatan dari rumah tanpa perlu keluar dan merisikokan tanggungjawab kepada keluarga khususnya anak-anak.

5. Untuk memastikan golongan fakir dan miskin dapat menikmati asas keperluan makanan harian, GAGASAN menawarkan program *"It’aam Kebangsaan" (It'am bermaksud memberi makan)* untuk memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan ini secara bulanan. Di saat keperluan rakyat marhaen dapat diberikan jaminan, kesejahteraan akan melebar dalam masyarakat.

6. Dasar pembangunan sedia ada telah gagal memberikan kesejahteraan yang adil kepada rakyat marhaen khususnya. Justeru GAGASAN akan mempertimbangkan semula *pelaksanaan dasar pembangunan agar ia berupaya menangani kemiskinan* dan menyusun semula ketidak seimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

*Tawaran Hak Berkediaman*

7. Seterusnya untuk memastikan rakyat menikmati keperluan asas kehidupan melibatkan hak berkediaman dan berkenderaan maka ditawarkan *kediaman mampu milik antara 50k hingga 180k*. Kediaman pada harga ini pasti mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan serendah RM1500 sekalipun, apatah lagi jika ditawarkan pula nanti *pembiayaan berasaskan konsep Qardun Hasan atau pinjaman tanpa faedah* sebagaimana tawaran manifesto PAS Terengganu.

8. Malah kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi *pembukaan rancangan tanah baru* sebagaimana tawaran GAGASAN adalah satu usaha *untuk menyediakan penempatan rakyat dengan harga mampu milik* di samping ia bakal membuka peluang-peluang pekerjaan baru. Ia selaras dengan cadangan oleh Bank Negara Malaysia agar kerjasama antara Negeri dan Persekutuan diwujudkan untuk pemberian tanah awam kepada rakyat bagi menangani peningkatan kos kediaman yang semakin tidak mampu milik kerana antara punca kenaikan kos kediaman ialah kos tanah.

9. Malah tawaran GAGASAN untuk *penempatan baru mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga FELDA* adalah satu lagi usaha ke arah pemilikan kediaman mampu milik.

*Tawaran Hak Berkenderaan*

10. Untuk memberi hak kepada rakyat marhaen memiliki kereta kali pertama, ditawarkan peluang *memiliki kenderaan di bawah 1.3 cc dengan pengecualian duti eksais dan pembiayaan berasaskan Qardun Hasan* iaitu pembiayaan tanpa faedah. Pengecualian duti eksais akan menyelamatkan pendapatan rakyat sehingga hampir 15k jika kenderaan itu berharga sekitar 40k. Bayaran ansuran bulanan akan menjadi kecil dan *menambah nilai pendapatan bulanan boleh guna rakyat.* Ia adalah hadiah untuk anak-anak muda yang baru sahaja memulakan kehidupan.

11. Untuk mengurangkan lagi kos hidup melibatkan kenderaan, *kadar bayaran tol yang menghakis sebahagian pendapatan rakyat juga akan distruktur kembali* menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol melebihi 15 tahun.  Pengurangan atau penghapusan tol bakal merancakkan lagi penggunaan lebuhraya oleh rakyat marhaen dan *meningkatkan lagi aktiviti ekonomi menerusi penjimatan kos dan masa* di samping menambah lagi nilai pendapatan boleh guna rakyat.

*Tawaran Pendidikan*

12. Dari sudut pendidikan pula, kos pendidikan dikurangkan menerusi tawaran *bas sekolah percuma*. Ia adalah hadiah besar khususnya bagi rakyat marhaen.

13. Bebanan hutang kerana pendidikan dikurangkan menerusi tawaran *pelupusan hutang peminjam-peminjam PTPTN* yang sedia ada untuk meringankan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma.

14. Bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin, serta masyarakat bandar dan luar bandar, GAGASAN menawarkan untuk mengembalikan *sistem kuota di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).*

15. Begitu juga ke arah memperkasakan golongan miskin bandar dan luar bandar, GAGASAN akan mengembalikan semula fungsi *Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).*

16. Pendidikan juga sewajarnya digerakkan menerusi penggunaan bahasa rasmi yang menjadi pengantara seluruh rakyat Malaysia. Justeru, tawaran GAGASAN ialah menjadikan *Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran* dalam sistem pendidikan negara.

*Tawaran Kesihatan dan Keselamatan*

17. Kesihatan adalah nikmat besar bagi rakyat. Ia berkait rapat dengan *bilangan doktor pakar dan hospital pakar yang cukup bagi memenuhi keperluan rakyat* sebagaimana nisbah yang disyorkan oleh PBB. Justeru, ia menjadi satu tawaran menggambarkan keprihatinan GAGASAN terhadap keperluan ini.

18. Keselamatan rakyat bergantung antaranya pada *bilangan anggota keselamatan yang seimbang dengan peningkatan populasi rakyat setempat*. Justeru, ia menjadi satu tawaran penting GAGASAN bagi mengurangkan kadar jenayah seterusnya meningkatkan lagi tahap keselamatan sosial.

*Penutup*

Saya sangat yakin 20 tawaran awal ini adalah antara yang terbaik ke arah melahirkan Malaysia baru yang lebih sejahtera. *Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia memberi peluang kepada GAGASAN yang diterajui oleh PAS bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.*

Nantikan tawaran manifesto seterusnya insyallah.

Sekian.

_*Membina Malaysia Sejahtera*_
_*Sejahtera Bersama Islam"*_

Selasa 20hb Mac 2018/ 2 Rejab 1439H

Tuesday 6 March 2018

Album Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus



Dato Dr Khairuddin Takiri menunggang motor


Album YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri



Dr Khairuddin Takiri menyampaikan Kuliah


Cukai GST Haram- Dr Khairuddin at-Takiri


Ceramah Politik Dr Khairuddin Takiri 3 Mac 2018 di Wakaf Tengah

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1896334080376613&id=569086473101387

Manifesto PAS TerengganuPRU 14: Cuti 30 Hari Wanita Kematian Suami


Dr Khairuddin Takiri bersama Dato ismail Kamus


Pertandingan Memancing di Pantai Tok Jembal anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus pada sabtu 10hb Mac 2018. Daftar segera dengan whatsap kepada Nizam 0195296225

Dr Khairuddin Takiri di Dewan rakyat 5.3.2018

Sempena Pembukaan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang ke13 pada 2018 (isnin 5 mac 2018/ 17 jamadilakhir 1439