Thursday 22 March 2018

Doa Baik dan Doa Keburukan; Doa Senjata Mukmin

*Doa Baik dan Doa Keburukan; Doa Senjata Mukmin*

Oleh :
*Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

1.Mendoakan kebaikan dan mendoakan keburukan kedua-duanya adalah sunnah berdoa, ada petunjuknya dalam hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

2.Berdoa agar musuh mendapat hidayah adalah dituntut seperti mana doa Nabi s.a.w. agar orang-orang Thaqif mendapat hidayah tatkala mereka menyakiti Nabi s.a.w..

3.Berdoa agar musuh yang jahat dan golongan yang zalim mendapat pembalasan Tuhan juga dibolehkan malah dituntut apabila kezaliman itu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya.

   Doa keburukan terhadap musuh yang jahat dan golongan yang zalim akan menggerunkan musuh dan menakutkan golongan yang zalim.

   Asasnya adalah kerana doa adalah senjata mukmin. Nabi s.a.w. bersabda :

الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

   "Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi"  (Hadis Riwayat Hakim)

4.Dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. berdoa ke atas Quraisy yang mengganggu dan menyakiti baginda ketika solat di Masjid Haram dengan _*"Ya Allah binasakanlah Quraisy"*_ sebanyak tiga kali. *Orang-orang Quraisy yang sedang ketawa gembira melihat Nabi s.a.w. diperlakukan demikian segera terdiam kerana takut dengan doa Nabi s.a.w..*

   Kemudian Nabi s.a.w. menyambung lagi doa baginda khusus ke atas tujuh orang pemuka Quraisy yang menganggu baginda agar dibinasakan oleh Allah. *Kata sahabat Nabi s.a.w., Ibnu Mas'ud _radiyallahu anhu_, aku melihat mereka antara yang mati terbunuh di medan Badar.*

5.Nabi s.a.w. juga mendoakan kehancuran tentera bersekutu pakatan Ahzab dalam peperangan Ahzab dan mendoakan kehancuran kerajaan Kisra Parsi.

6.Dalam Hadis Muslim, seorang sahabat Nabi s.a.w. yang terkenal bernama Sa'id bin Zaid _radiyallahu anhu_ yang juga merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat yang dijamin syurga, *mendoakan keburukan terhadap Arwa binti Uwais yang membuat tuduhan palsu terhadap beliau kononnya merampas sebahagian tanahnya.* Beliau lalu berdoa, _*"Ya Allah sekiranya dia berbohong maka butakanlah matanya dan bunuh dirinya di tanahnya sendiri"*_. Doa beliau dimakbulkan Allah lalu Arwa menjadi buta kemudiannya dan terbunuh di tanahnya sendiri akibat terjatuh ke dalam lubang.

7.Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Aini dalam Syarah Sahih Bukhari, *Nabi s.a.w. mendoakan kebaikan untuk musuh yang kufur apabila merasa aman daripada pengkhianatan mereka dan mengharapkan hidayah untuk mereka*. Nabi pula *mendoakan kehancuran musuh apabila mereka semakin kuat, gangguan dan ancaman mereka juga semakin kuat dan umat Islam tidak selamat daripada kejahatan mereka.*

8.*Bagi golongan yang dizalimi, senjata mereka berhadapan dengan orang zalim ialah doa.*

   Nabi s.a.w. bersabda dalam Hadis Bukhari dan Muslim :

اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

   _"Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan Allah sebarang dinding"._

   Dalam satu riwayat Ahmad menyebut, _"meskipun doa daripada seorang yang kufur (yang dizalimi)"._

9.Antara *dalil boleh berdoa keburukan terhadap orang yang zalim* ialah firman Allah dalam al- Nisa ayat 148 :

لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

   _"Allah tidak suka berterangan menyebut kejahatan melainkan daripada orang yang dizalimi..."._

   Menurut Ibnu Kathir, berkata Ibnu Abbas, maksud ayat ialah Allah tidak suka seseorang mendoakan keburukan atas seseorang melainkan dia dizalimi kerana Allah memberi kelonggaran untuk mendoakan keburukan ke atas orang yang menzaliminya.

   Berkata al-Sa'di, harus bagi orang yang dizalimi mendoakan keburukan terhadap orang yang menzaliminya dan mengadu perihalnya dan menyebut secara terang-terangan kejahatannya tanpa menambah pembohongan atau berlebih-lebihan mengatasi kadar kezaliman ke atas dirinya.

10.*Hanya golongan yang zalim takut kepada doa orang yang soleh dan doa orang yang dizalimi*. Bagi mereka yang baik, tidak melakukan kezaliman kepada manusia, mereka tidak bimbang terhadap doa keburukan oleh orang lain kerana yang menerima dan memakbulkan doa HANYALAH Allah.

Sekian.

Rabu, 22hb Mac 2018

No comments:

Post a Comment